KUALA LUMPUR: Perdana Menteri berpuas hati dengan pertumbuhan ekonomi negara yang  mencatatkan pertumbuhan amat memberangsangkan sekali gus berharap rakyat berusaha terus melangkah maju dalam merealisasikan pertumbuhan ekonomi kukuh.

Datuk Seri Najib Razak berkata nilai eksport negara melebihi RM70 bilion untuk bulan keempat berturut-turut sejak November 2016.

Bagi Februari tahun ini, eksport  mencecah RM71.77 bilion, naik 26.5 peratus berbanding tahun lalu.

“Kesemua sektor utama iaitu barangan perkilangan, hasil galian dan keluaran pertanian mencatat pertumbuhan yang tinggi,” katanya dalam catatan di laman Facebook malam tadi.

“Ini adalah satu indikator positif dan satu suntikan semangat keyakinan terhadap usaha dan dasar kerajaan Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata berdasarkan pertumbuhan memberangsangkan itu, institusi-institusi penyelidikan meramalkan ekonomi Malaysia akan berkembang lebih besar pada tahun ini berbanding ramalan awal. – Sarawakvoice