Sunday, December 5, 2021

‘Bantu kami cari Shafa yang hilang di Jakarta’

Secara Rawak

JAKARTA: “Kami merayu jika benar Kamarol sudah berada di Malaysia, tolonglah muncul dan bantu kami cari Shafa,” kata Mohamad Hafizul Razali yang kini berada di Jakarta untuk mencari adik iparnya itu.

Abang ipar kepada Mohamad Shafa Ahmad itu berkata, mereka mendapat maklumat kononnya Kamarol Arifin Mohamad Darus yang dilaporkan hilang bersama-sama adiknya di Jakarta telah dikesan pulang ke tanah air kerana pasportnya menunjukkan Kamarol telah melepasi imigresen di Johor Bahru kelmarin.


“Tetapi Kamarol dipercayai pulang seorang diri dan tidak menghubungi keluarganya sehingga sekarang… kami sangat hairan dan kami sangat perlu bantuan dia untuk cari Shafa untuk ceritakan apa yang sebenarnya berlaku,” katanya ketika ditemui Bernama di Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Mohamad Hafizul berkata beliau dan dua rakannya telah berada di Jakarta sejak semalam sebagai usaha mencari adik iparnya dan setakat ini masih belum mendapat petunjuk daripada mana-mana pihak.

Katanya, mereka akan berada di Jakarta sehingga Ahad ini dan setakat ini telah meronda di semua tempat yang sepatutnya Mohamad Shafa kunjungi seperti kawasan hotel yang ditempah, pusat beli-belah Tanah Abang dan sekitarnya. Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru