BAU: Ditemui hidup dan selamat. Itu status terkini seorang wanita warga emas yang sebelum ini dilaporkan hilang di Kampung Stass dekat sini.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, mangsa Rigek Moseng, 73 tahun ditemui dalam keadaan lemah sekitar satu kilometer dari Pos Kawalan Bomba di Plaman Boow sekitar jam 3.05 petang tadi.

“Mangsa hanya memakan buah-buahan hutan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Mangsa dilaporkan hilang sejak Ahad lalu menyebabkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa diaktifkan.

Antara agensi yang terlibat dalam pasukan SAR termasuklah pasukan khas Bomba dan Penyelamat dari Unit STORM (9 orang), MUST Team (2 orang), Balai Bomba dan Penyelamat Bau (5 orang), Polis Diraja Malaysia (8 orang), Angkatan Pertahanan Awam (18 orang) dan Angkatan Tentera Malaysia (18 orang).

Turut terlibat 47 penduduk kampung.

Mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Bau oleh pasukan EMRS pada jam 3.50 petang. – Sarawakvoice