Tuesday, June 28, 2022

Polis kepung, kawal kawasan ayam ditanam di Bukit Aup, ayam berasal dari negara yang dijangkiti selesema burung

Secara Rawak

SIBU: Polis membuat kepungan sejak tengah hari semalam di tapak beberapa kontena kepak ayam sejuk beku dilupuskan dan ditanam oleh pihak berkuasa Jumaat lepas.

Memerik Bernama, anggota polis juga diletakkan berkawal di tempat masuk kawasan itu bagi menghalang orang awam daripada memasukinya.

Ketika ini tapak pelupusan kepak ayam itu berbau busuk, dan boleh dihidu dari tempat kepak ayam itu ditanam.

“Tiada siapa yang datang ke sini hari ini dan jika mereka datang, kami terpaksa mengarahkan mereka meninggalkan tempat ini,” kata salah seorang daripada dua anggota polis yang berkawal.

Difahamkan, satu mesyuarat tergempar diadakan di Pejabat Kastam Diraja Malaysia di Jalan Deshon di sini pagi tadi, dan dihadiri oleh pegawai jabatan berkaitan termasuk Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, Dr Muhamad Rais Abdullah.

Pengarah Kastam negeri Ahmad Ji  dijangka mengadakan satu sidang media pagi esok untuk memberikan penjelasan.

Apabila berita mengenai pelupusan kepak ayam itu tersebar dalam kalangan penduduk tempatan, ramai yang datang ke tapak itu semalam untuk menggali keluar
kepak ayam terbabit.

Kepak ayam itu dirampas oleh Unit Penguatkuasa Kastam di Pelabuhan Sibu dan dipercayai berasal dari Belanda.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebelum ini telah mengeluarkan larangan pada 30 November tahun lepas terhadap import sebarang unggas dari Belanda berikutan penularan Selesema Burung Patogen Tinggi di negara Kesatuan Eropah itu. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru