Bekal 89, tuntut 358 geotube, Tan Sri kaut untung RM9 juta dijaring SPRM bersama-sama empat pegawai JPS

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menangkap seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri hari ini kerana dipercayai telah mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembekalan geotube bagi kerja-kerja pemulihan sungai dengan menggunakan kaedah penggalian.

Turut ditahan dalam operasi serentak sekitar jam 10.30 pagi itu ialah empat pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Antara mereka yang ditahan ialah Pengarah Bahagian Projek Khas, jurutera tempatan, jurutera tapak dan penolong jurutera.

Kesemua mereka disyaki telah bersubahat dengan Tan Sri tersebut yang merupakan pemilik syarikat yang dilantik untuk membekalkan alat geotube untuk projek JPS.

Difahamkan, suspek telah mengemukakan invois pembekalan berjumlah hampir RM13 juta bagi pembekalan sebanyak 358 unit geotube, tetapi pembekalan yang dibuat hanya sebanyak 89 unit, yang bernilai kira-kira RM4 juta.

Disebabkan perbuatan mereka yang telah menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan diri, kerajaan telah kerugian hampir RM9 juta.

Kesemua suspek yang berusia antara 33 dan 63 tahun.

Suspek bergelar Tan Sri ditangkap di rumahnya di Johor, pegawai JPS yang telah bersara ditangkap di rumahnya di Seremban, manakala tiga pegawai JPS ditangkap di pejabat JPS di ibu pejabat.

Kesemua mereka dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18, Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya  (Operasi) SPRM Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kemungkinan lebih ramai lagi dijangka ditangkap dalam masa  terdekat. – Sarawakvoice