KUALA LUMPUR: Kepada mereka yang tidak berpuas hati,  Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersedia untuk berjumpa dengan golongan ini, kerana beliau bukan jenis orang yang suka bersembunyi.

“Saya bukan individu yang suka bersembunyi dan tidak tahu apa-apa. Saya suka bersemuka dengan individu-individu seperti ini dengan cara ‘gentleman’ dan bersikap telus bagi menyelesaikan terus masalah atau persoalan dari anda semua demi meningkatkan mutu bola sepak dalam negara dan pasukan kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook FAM.

“Saya akan pergi ke semua negeri untuk mesyuarat exco FAM dan sesi bersama penyokong. Kepada anda yang tidak berpuas hati boleh bertanya terus dan berkongsi pendapat dengan saya.

Tunku Ismail turut mencabar pihak tersebut berjumpa dengannya dan meluahkan sendiri rasa kurang senang mereka sekali gus menyelesaikan masalah yang ditimbulkan mereka.

Tunku Ismail mengulas mengenai segelintir penyokong yang sengaja mencetuskan isu sehingga menimbulkan pertelagahan dalam kalangan peminat bola sepak di negara ini dan turut mengambil contoh isu pengendali Kedah Tan Cheng Hoe.

“Berkenaan isu yang ditimbulkan oleh laman sosial tidak rasmi yang gemar melaga-lagakan penyokong seperti berita mengenai Tan Cheng Hoe,” ujarnya.

“Saya hendak tegaskan ini bukanlah satu perancangan untuk menjatuhkan mana-mana pihak seperti mana yang telah diuar-uarkan oleh laman tidak rasmi yang sehingga hari ini belum pernah berdepan dengan saya.

“Saya berharap penyokong pandai menilai sendiri siapa dan pihak yang mana yang selalu menguar-uarkan isu kecil daripada pihak yang memainkan peranan dan memberi sumbangan serta berkongsi pendapat, berdepan untuk bersama membantu merubah landskap bola sepak tempatan. Bukan hanya tahu melaga-lagakan penyokong sahaja,” katanya. – Sarawakvoice