KOTA MARUDU: Sabah sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) bukan satu keistimewaan, sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab dan amanah yang harus dipegang oleh semua anggota parti untuk terus mempertahankannya.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata semua anggota parti perlu memastikan BN dan UMNO tetap kuat dan mantap sekali gus menjadi parti yang kekal dalam landasan memperjuang kepentingan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

“Kita mesti bersatu padu dan saling hormat menghormati. Kita mesti bekerja kuat untuk terus mantap dan kuat. Apa yang penting, kita mesti selalu turun padang berjumpa rakyat bagi mengetahui masalah yang mereka hadapi.

“Kita mesti sentiasa bekerja… Kurang bercakap tetapi banyak bekerja walaupun kita tidak tahu bila pilihan raya,” kata beliau.

Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berucap pada perasmian serentak persidangan cawangan UMNO serta Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kota Marudu di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili selaku anggota Parlimen Kota Marudu dan Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu Datuk Wetrom Bahanda.

Musa berkata kerajaan BN mempunyai rekod pencapaian yang baik dengan melaksanakan pelbagai kemajuan dan projek pembangunan walaupun tidak menafikan masih banyak perlu dipenuhi dan ditambahbaik demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat perlu terus diperkukuh agar segala peruntukan yang dimohon boleh dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan demi memastikan rakyat di negeri kedua terbesar di Malaysia itu turut merasai nikmat pembangunan.

“Apa yang penting, janji kita dahulu akan kita tepati dan penuhi… Inilah cara UMNO untuk memberi pembelaan kepada rakyat,” katanya.

Musa juga mengingatkan rakyat di negeri ini supaya jangan sama sekali terperangkap dengan tipu helah pembangkang yang sekarang ini masuk-keluar kampung menabur janji “bulan dan bintang” yang tidak logik untuk direalisasikan. Bernama