SIBU: Selepas Ahli Parlimen Mukah, Leo Michael Toyad dijangka digugurkan sebagai calon pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, satu lagi kawasan yang menjadi tumpuan adalah Igan.

Persoalannya, adakah penyandang, Wahab Dollah akan terus menjadi calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam PRU nanti? Atau nama beliau akan digugurkan, digantikan oleh calon lain yang lebih muda, berwibawa dan mesra pengundi?

Wahab, seorang ahli perniagaan yang berjaya,  kini menjadi teka-teki sama ada akan mempertahankan kerusinya atau tidak.

Berusia 66 tahun, Wahab suatu ketika disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud meskipun banyak juga yang meragui itu menjadi kenyataan.

Beliau disifatkan sebagai ‘giant killer’ dalam pilihan raya negeri 1987 apabila menumbangkan bekas Ketua Menteri Tun Abdul Rahman Yaakub.

Selepas itu, bintang Wahab, anak Melanau, semakin menyinar, sebelum bintangnya semakin malap dalam persada politik Sarawak.

Prestasi Wahab di Dewan Rakyat banyak diperkatakan, dan berdasarkan hansard atau laporan rasmi Parlimen, beliau jarang-jarang berucap atau berbahas.

Beliau melepaskan jawatan daripada kabinet Sarawak pada 2004. Pada PRU 2004 dan 2008, Wahab menang tanpa bertanding atas tiket PBB.

Pada pilihan raya lalu, Wahab yang suatu ketika dianggap sebagai ‘warlord’ bagi kerusi Melanau, menewaskan calon Pas.

Wahab sudah  30 tahun menjadi wakil rakyat, dan ada yang berpendirian bahawa itu lebih daripada memadai untuk beliau membuktikan gengsi dan pencapaiannya untuk membawa pembangunan ke kawasan diwakilinya.

Kepada pengundi di Igan, adakah anda berpuas hati dengan pencapaian Wahab sebagai Ahli Parlimen? – Sarawakvoice