SERIAN: Serian akan muncul sebagai pusat pertumbuhan baharu Sarawak, apabila pelbagai projek pembangunan kini dilaksanakan untuk melengkapinya sebagai sebuah kota pinggir bandar.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, untuk tujuan tersebut, projek pembesaran Bandar Baharu Serian akan dilaksanakan oleh anak syarikat kerajaan, Borneo Development Corporation di kawasan ini dengan kos mencecah sekitar RM500 juta.

Pada masa yang sama, katanya Serian juga akan dibangunkan sebagai salah satu tarikan pelancongan baharu di Sarawak, dengan produk utamanya berpaksikan kebudayaan dan alam sekitar.

“Masyarakat Bidayuh amat unik dan kaya dengan kebudayaan. Dan antara produk yang boleh diangkat termasuklah kraftangan dan makanan tradisi seperti manok pansoh.

Malah kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu lagi, tarikan seperti buah-buahan untuk eksport dan pelancongan juga boleh diusahakan memandangkan Serian memiliki kawasan tanah terbiar yang luas.

Berkaitan tanah ini jelasnya, beliau telah mengarahkan sebuah jawatankuasa khas dibentuk yang akan diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Douglas Uggah bagi menangani isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di sini.

“Jawatankuasa yang akan turut dianggotai Menteri Belia, Sukan dan Solidariti, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, wakil Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan wakil Jabatan Tanah dan Survei akan bertanggungjawab menyelesaikan pelbagai masalah kecil sebelum geran tanah dikeluarkan kepada pemilik tanah.

“Cuma saya mahu tanah-tanah tersebut diusahakan dan ditanam dengan buah-buahan.

“Kita mahu menukarkan kawasan ini sebagai pembekal buah-buahan yang boleh dieksport ke luar negara,” katanya lagi sewaktu melancarkan Pesta Birumuh atau Pesta Menuai di Stadium Mini Serian di sini pagi tadi.

Bagi menambah nilai aspek pelancongan di sini, beliau turut mengumumkan cadangan menaik taraf Tasik Serian, dengan mewujudkan jambatan ikonik seperti di Putrajaya, yang akan dilengkapi dengan kerlipan cahaya lampu.

Malah beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk menaik taraf kawasan air terjun Ranchan dekat sini, yang amat popular kepada rakyat tempatan.

Abang Jo berkata, beliau optimis bahawa Serian akan muncul sebagai bandar yang maju, kerana kedudukannya yang hampir dengan bandar raya Kuching.

“Kerana itu saya telah meminta agar perancangan pembinaan sistem aliran transit ringan (LRT) sebagai pengangkutan awam di negeri ini turut melibatkan Serian dan Bau,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Abang Jo yang berkunjung ke Serian dengan menunggang motosikal berkuasa besar telah merasmikan upacara pecah tanah Kompleks Pentadbiran Bahagian yang baharu dengan kos sebanyak RM200 juta.

Turut dibangunkan ialah Pusat Persidangan Serian yang berkeluasan 3,180 meter persegi, dan memiliki dewan untuk memuatkan 2,000 tetamu pada satu-satu masa dan 380 ruang parkir.

Abang Johari turut mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk pembinaan Kompleks Pejabat Daerah Tebedu, manakala DBNA menerima suntikan RM100 ribu untuk penganjuran berterusan Pesta Birumuh yang disifatkannya sebagai berjaya. – Sarawakvoice