Tuesday, August 16, 2022

Fadillah desak Guan Eng usah berdalih, tampil dengan kajian jambatan berharga RM305 juta yang 87 peratus siap minggu hadapan

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Menteri Kerja Raya semalam menempelak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang disifatkan tidak perlu berasa terkejut berhubung kenyataan bahawa pihaknya masih belum menerima kertas sokongan untuk menyokong permintaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk kelulusan Jambatan ke-3 Pulau Pinang, dan bukannya terowong bertol untuk tempoh 30 tahun.

Datuk Seri Fadillah Yusof dalam kenyataannya mengingatkan Guan Eng bahawa beliau merupakan individu yang telah menghantar permohonan tersebut kepada Kementerian Kerja Raya pada Mei lalu.

“Selepas itu pihak kami sebanyak lima kali telah meminta dokumen sokongan namun Guan Eng telah mengakui secara terbuka pada Ogos 2016, bahawa kajian tersebut masih belum lengkap.

“Beliau sebaliknya berkata, akan menghantar hasil kajian tersebut pada penghujung tahun lepas atau awal tahun ini.

“Memandangkan suku pertama tahun ini sudah tamat dan melepasi tarikh akhir, kami berhak untuk bertanyakan mengenai sebarang perkembangan,” jelasnya lagi.

Katanya, pihaknya terkejut apabila Guan Eng memberitahu bahawa kajian tersebut kini masih tersekat pada tahap 87 peratus dan tidak dapat diteruskan.

Seyogia diingatkan bahawa pada Ogos lalu, Guan Eng menyebut bahawa kajian projek ini berada pada tahap 84 peratus.

“Ternyata ia bercanggah dengan pengumuman sebelum ini yang memaklumkan bahawa kajian tersebut akan siap sepenuhnya dan akan didedahkan kepada orang ramai pada April 2014.

Kata Fadillah pihaknya sedia maklum akan alasan Guan Eng adalah kerana pelan induk penambakan masih belum siap, walaupun projek tersebut telah dianugerahkan pada tahun 1999 dan setelah sembilan tahun DAP mengambil alih Kerajaan Negeri.

“Kami sedia maklum bahawa penambakan berskala besar telah pun dimulakan di bahagian pulau bagi projek tersebut dan terus berjalan sejak setahun lalu.

“Tiada sebarang kerja-kerja pembinaan projek negeri bernilai RM6.34 bilion dimulakan, juga tidak bagi terowong atau mana-mana lebuh raya tiga lorong walaupun Kerajaan Pulau Pinang telah menghebahkan kepada umum bahawa kerja pembinaan akan dimulakan pada awal 2015.

Sehubungan itu kata Fadillah, kementeriannya terkejut dengan jawapan Guan Eng yang menyebut tidak perlu tergesa-gesa menyiapkan kajian tersebut pada kadar segera.

“Ironinya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membayar sekurang-kurangnya RM135 juta daripada jumlah kos laporan keseluruhan sebanyak RM305 juta dan membenarkan tanah negeri Pulau Pinang bernilai RM2.83 bilion disepara-jual oleh syarikat konsesi kepada syarikat awam yang disenaraikan, dalam majlis yang disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang pada Januari 2016.

“Pada pengetahuan kami, kami tidak menyedari bahawa terdapat mana-mana kementerian persekutuan yang akan memberikan pra-kelulusan bagi projek-projek bernilai berbilion ringgit dalam tempoh 24 jam selepas permohonan dibuat tanpa sebarang dokumen sokongan, seperti yang didakwa oleh Guan Eng pada Khamis.

Sehubungan itu, kata Fadillah, pihaknya meminta Guan Eng untuk mendedahkan kementerian yang telah berbuat demikian agar pihaknya dapat belajar dari kementerian tersebut.

“Kementerian kami mempunyai pengalaman dan rekod jangka masa panjang serta kekal komited untuk membantu Guan Eng berkenaan projek Kerajaan Negeri bernilai RM6.34 bilion yang sudah lama tertangguh ini.

“Oleh yang demikian, kami meminta Guan Eng untuk mengatur mesyuarat dengan pihak kementerian kami pada minggu hadapan dan membawa bersama-sama kajian yang telah 87 peratus siap, yang bernilai RM305 juta itu,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru