KUCHING: Pusat Pembangunan Pendidikan Yayasan Sarawak di Jalan Sultan Tengah di sini kini dikenali dengan nama Wisma Adenan, bersempena memperingati jasa serta sumbangan besar Ketua Menteri Sarawak kelima Allahyarham

Tan Sri Adenan Satem khususnya terhadap pembangunan pendidikan negeri. Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg semasa mengumumkan nama baharu pusat itu berkata, umum tahu mengenai kegigihan Allahyarham yang amat gigih dalam usahanya meningkatkan sektor pendidikan negeri.

Beliau berkata keseriusan dan sumbangan besar Allahyarham yang mesra dengan panggilan “Tok Nan” itu seharusnya sentiasa dihayati, diteladani dan diteruskankesinambungannya oleh generasi masa kini.

“Mari kita sama-sama terus hidupkan semangat perjuangan Tok Nan ini dalam membangunkan negeri,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian hadiah pelajar Cemerlang Yayasan Sarawak di Wisma Adenan di sini, semalam.

Abang Johari mengambil alih jawatan sebagai Ketua Menteri daripada Adenan yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

Abang Johari berkata Sarawak faham bahawa soal pendidikan terletak dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan, namun ia tidak boleh terlalu mengharap atau menyerahkan segala-gala aspek pembangunannya kepada kerajaan pusat semata-mata.

“Sebaliknya Sarawak perlu mencari dan merangka strategi-strategi baharu bagi melonjakkan penguasaannya dalam bidang itu, selaras dengan hasratnya untuk menikmati pembangunan yang setaraf dengan negeri-negeri lain,” katanya.

Menurutnya landskap pendidikan dunia yang kini telah berubah, menuntut usaha kerajaan negeri untuk membangunkan infrastruktur yang lebih baik khususnya berkaitan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), untuk menyediakan landasan yang kukuh kepada anak-anak negeri untuk maju.

Beliau memberi contoh penekanan kerajaan pusat kepada soal liputan atau penembusan jalur lebar dalam negara, sedangkan ketika ini Sarawak merasakan soal kelajuan internet yang perlu diberi tumpuan, khususnya di kawasan-kawasan bandar.

Abang Johari berkata beliau percaya dengan kesungguhan dan penuh keyakinan diri, dilengkapi dengan hujah-hujah fakta yang tepat dan telus, kerajaan pusat pasti akan menerima pandangan-pandangannya.

Beliau seterusnya memberi contoh kesungguhan kerajaan Sarawak dalam mengupas isu berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 kepada kepimpinan Barisan Nasional dengan penuh tenang dan yakin; tanpa ‘beremosi’ atau mengaitkan ia dengan soal agama.

Abang Johari berkata akhirnya kerajaan memutuskan untuk tidak akan membentangkan RUU itu di Parlimen dan ia akan kekal sebagai RUU persendirian.

Pada majlis itu, 370 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sekitar bahagian Sarawak menerima sumbangan hadiah berupa Sijil Simpanan Premium masing-masing bernilai RM100, RM500 dan RM700. Bernama