KUALA LUMPUR: Kemampuan kerajaan Malaysia menyelesaikan krisis Malaysia dan Korea Utara secara rundingan membuahkan hasil yang baik hingga membuktikan negara mendukung semangat diplomasi yang amat kuat.

Pada masa sama, ia juga menunjukkan Malaysia tidak mudah tunduk dengan kuasa luar kerana berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan kedaulatan, kata Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Dr Muhammad Danial Azman.

“Usaha rundingan yang dijalankan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak harus dipuji kerana ia bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila banyak tuduhan dan tuntutan dikemukakan Pyongyang sebelum ini,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata tugas kerajaan dalam menyelesaikan kemelut itu agak mencabar terutamanya apabila keselamatan sembilan rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara sebelum ini juga perlu diberi perhatian dan keutamaan.

Ketegangan di antara Kuala Lumpur dan Pyongyang tercetus susulan pembunuhan Kim Jong-nam, 46, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) di sini pada 13 Feb.

 

Pergeseran diplomatik kemudian timbul apabila Duta Korea Utara Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia mengenai cara ia mengendalikan kes itu, yang mengakibatkan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai persona non grata dan mengusir Kang Chol keluar dari negara ini pada 5 Mac lepas.

Susulan pengusiran itu, pada 7 Mac lepas, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warga negara Korea Utara yang berada di negara ini.

Semalam, Najib mengumumkan bahawa hasil kejayaan rundingan kedua-dua negara, kesemua rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara dibenarkan pulang ke tanah air.

Kesemua rakyat Malaysia itu kemudian berlepas dari Pyongyang pada pukul 7.45 malam semalam waktu Malaysia dan tiba di Kuala Lumpur pukul 5.03 pagi ini. Muhammad Danial berkata, ketegasan Malaysia dalam proses rundingan adalah selaras dengan piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu bahawa hak dan kedaulatan sesebuah negara harus dihormati.

 

Katanya adalah menjadi tanggungjawab negara tuan rumah untuk menjalankan proses mengikut undang-undang termasuk bedah siasat mayat dan berdasarkan Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963, negara luar perlu akur dan menghormati undang-undang negara tuan rumah.

Ditanya mengenai hubungan Malaysia dan Korea Utara selepas ini, Muhammad Danial berkata ia bergantung kepada kehendak pemimpin kedua-dua negara.

“Namun, sekiranya hubungan kedua-dua negara tamat, ia tidak akan memberi kesan kepada kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa kerana Malaysia mempunyai hubungan yang mantap dengan negara-negara lain.

“Sebaliknya Korea Utara yang akan terjejas dalam banyak hal termasuk hubungan perdagangan dan pertukaran asing,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah dan Felo Kanan, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Sufian Jusoh turut memuji proses rundingan yang dijalankan oleh kerajaan tanpa melibatkan aspek ketenteraan atau kekerasan.

 

Menurutnya Malaysia sememangnya diakui sebagai negara yang mampu mengadakan rundingan secara berkesan khususnya melibatkan negara-negara yang mengalami pergolakan.

“Sebagai contoh, kita pernah menjadi mediator untuk proses keamanan di selatan Filipina yang akhirnya membawa kepada penandatanganan perjanjian komprehensif mengenai Bangsamoro di antara kerajaan dan Filipina serta Barisan Pembebasan Islam Moro.

“Jadi, dalam isu ini (Kim Jong-nam) tidak mungkin kerajaan kita tidak mampu menyelesaikannya,” katanya. Bernama

“Ini semua salah Najib laa”