Jika anda berkunjung ke Miri jangan lupa menjenguk ke Pantai Tusan — satu destinasi pelancongan baharu di bandar raya Miri.

Jaraknya hanya kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Miri atau setengah jam perjalanan melalui jalan pesisir pantai Miri-Bekenu. Jaraknya dari pekan Bekenu tidak jauh, sekitar 4 kilometer sahaja.

Apa istimewanya Pantai Tusan?

Walaupun Pantai Tusan agak jauh terpencil dari bandar raya Miri tetapi ia tetap akan menjanjikan pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh pengunjungnya.

Ia mempunyai pantai yang landai dan memanjang dan hamparan pasirnya yang berwarna kekuningan di bawah pancaran matahari. Di atas hamparan pasirnya halus dan lembut, pengunjung pasti akan seronok melihat bekas telapak kaki yang ditinggalkan. Anda akan menikmatinya keseronokan apabila dikejar alunan ombak kecil yang berderai.

Landskap pantainya begitu cantik dan menawan terutama “Batu Kuda” yang menyerupai seekor kuda yang sedang menghirup air laut. Pelbagai bentuk dinding bukit batu akibat geseran ombak begitu unik untuk dihayati bagi mereka yang suka dengan alam semulajadi.

Pantai Tusan sangat sesuai untuk berpiknik dan bermandi-manda bersama keluarga pada hujung minggu kerana pantainya yang landai dan tidak tercemar.

Memerhati panorama begitu indah sewaktu matahari sedang terbenam dan yang menjanjikan kedamaian. Bagi pelawat yang diam di kota besar, mungkin pemandangan begini adalah unik dan jarang-jarang dinikmati.

Yang paling menakjubkan yang berlaku di pantai ini ialah fenomena “blue tears” atau air mata biru yang menjadi tarikan orang ramai antara bulan September hingga Disember setiap tahun.

Pantai Tusan adalah salah satu antara pantai di seluruh dunia yang mempunyai fenomena yang sebegini selain di Maldives dan di kepulauan Matsu di luar pantai Taiwan. Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas pada waktu malam. Pengunjung akan berpusu-pusu ke Pantai Tusan bagaikan satu pesta. Mereka ingin menyaksikan sendiri keajaiban semula jadi apabila fenomena tersebut tiba.

Fenomena air mata biru ialah cahaya biru berkilau terang yang terhasil daripada plankton yang bertindak balas dengan oksigen dalam air laut dan membentuk warna biru terang. Pantai ini bertukar menjadi biru seolah-olah dilimpahi lampu neon. Fenomena semula jadi inilah yang ditunggu-tunggu oleh peminatnya setiap tahun terutama ahli fotografi.

Diharap pengunjung yang datang ke sini dapat menjaga kebersihan pantai yang cantik ini kerana sudah nampak hamparan sampah yang ditinggalkan oleh pengunjung yang tidak prihatin dan tidak bertanggungjawab.

Jika anda ke sini jangan hairan sekiranya harga sebiji kelapa muda adalah lebih mahal daripada harga di restoran di tengah bandar.

Jika Pantai Tusan didandan cantik, pasti lebih ramai tetamu akan menjejak kaki di lamanmu suatu hari nanti.