RUU 355: Syariah atau Politik?

Isu RUU 355  kini berada pada kemuncaknya, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memutuskan  bahawa kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Parlimen.

Keputusan  tersebut dibuat berdasarkan persetujuan bersama atau konsensus yang menurut beliau selaras dengan amalan dan dasar Barisan Nasional (BN). Implikasi daripada keputusan tersebut RUU 355 tersebut akan menjadi persendirian.

Ketika keputusan tersebut dibuat, Najib selaku Pengerusi BN memilih untuk berdiam diri dan enggan untuk mengulas lanjut apabila  pertanyaan sama ada ahli Parlimen BN akan mengundi atau sebaliknya sekiranya usul persendirian  tersebut berjaya dibentangkan di Parlimen.

Hal ini menimbulkan persoalan  dan implikasi politik terhadap  hubungan PAS dan  UMNO yang dikatakan ini cuba berbaik-baik semula dan menggunakan  kepentingan agama sebagai asas ikatan.

Status Usul Persendirian

Berdasarkan peraturan parlimen, selepas semua urusan  dan usul kerajaan dibentangkan barulah  usul persendirian boleh dikemukakan. Menurut pengamal undang-undang RUU 355 adalah molek usul tersebut dibawa oleh Kerajaan yang memerintah dan bukannya sebaliknya.

Kini Perdana Menteri mengarahkan budi bicara Speaker Dewan Rakyat  menentukan keutamaan mengikut Aturan Urusan Mesyuarat yang peluangnya sangat nipis. Speaker sebagai ahli UMNO pula tertakluk kepada keputusan  dan pendirian Pengerusi BN sebelum ini.  Justeru,  masa depan nasib Rang Undang-Undang 355 sudah boleh dijangka dengan mudah  kecuali berlaku keajaiban luar biasa.

Metos RUU 355

Sebagaimana ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, usul pindaan akta  yang melibatkan kawalan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah bukanlah untuk  mewujudkan undang-undang hudud.  

Pindaan  tersebut lebih kepada had jumlah hukuman yang boleh dijatuhkan di Mahkamah Syariah Negeri  yang sudah lama tidak disemak kembali dan perlu dipertingkatkan.

Kali terakhir Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dipinda ialah pada tahun 1984. Apabila pindaan tersebut dibentangkan pada era pemerintahan Mahathir Mohamad  pada pada tahun 1984, tidak timbul bantahan  daripada komponen BN.  

Pada hari ini apabila cuba dibentangkan bukan sahaja dibantah oleh komponen BN membantah akan tetapi wakil rakyat beragama Islam sendiri pun turut membantah.

Namun ada parti politik  bukan berteraskan Islam yang menyokong RUU 355.  Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing menyokong RUU 355 kerana beliau  faham bahawa undang-undang itu bukanlah undang-undang hudud. Tambahan pula undang-undang tersebut  hanya untuk orang Islam dan tidak melibatkan penduduk bukan Islam di negara ini.

Presiden SPDP tahu bahawa Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk umat Islam dan Akta 355 malah  Seksyen 2 juga menjelaskan orang Islam  sahajalah yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.

Datuk Hadi Awang pula mendakwa mereka yang menentang RUU355 tergolong sebagai orang yang mahu mengelirukan orang bukan Islam dan buta agama. Namun, sejauhmanakah ini benar?

Implikasi Politik PAS-UMNO

Ada pelbagai telahan  mengenai RUU 355 dalam konteks politik semasa. Ada yang menyatakan isu ini semacam permainan bola politik yang akhirnya bola itu sendiri disepak balik kepada pembawa asal. Ada juga sinikal yang melihat sebagai sarkas politik tahap maksimum.

Boleh juga dilihat sebagai teater politik yang bermula dengan rayuan yang emosional, sokongan tak berbelah bahagi, pujuk rayu hingga membawa kepada demonstrasi di Padang Merbuk, Kuala Lumpur pada Februari 2017.

Ada pula wakil rakyat serius mempertahankan dan ada pula membantah dengan pelbagai alasan dan hujah. Teater politik ini ada kaitan dengan hubungan PAS-UMNO.

PAS pula pada satu tahap mula menjauhkan diri dengan PPBM dan PKR  dan ini  sebenarnya kejayaan  UMNO  dari segi politik bagi mengelakkan pakatan yang kuat.

Namun selepas episod ini, pasti akan membawa kesan hubungan parti PAS-UMNO dalam pilihan raya umum akan datang.  Adakah PAS akan bergerak sendirian pada PRU akan datang?

Bersediakah PAS kembali kepada pakatan lama dahulu?  Bagaimanakah pula reaksi akar umbi PAS terhadap isu ini? Yang pasti muktamar PAS pada bulan Jun ini akan semakin panas khususnya  terhadap kerelevanan kepimpinan Hadi Awang. – Sarawakvoice