Wednesday, December 7, 2022

BAM di belakang Chong Wei sehingga kemuncak tenaga

Secara Rawak

KUCHING: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi jaminan akan terus menyokong usaha Datuk Lee Chong Wei untuk menakluk takhta badminton dunia, sehingga maksimum kudratnya.

Pengurus Besar BAM, Lawrence Chew berkata, pihaknya tidak pernah membincangkan tentang persaraan Datuk Lee Chong Wei.

“Kami mahu beliau mengekalkan kedudukannya sebagai pemain nombor satu dunia.

“Tiada perbincangan langsung untuk mencari pengganti, atau menamakan pengganti untuk pemain terbaik dunia itu.

“Sebaliknya, kita mahukan beliau memberi tumpuan sepenuhnya untuk terus memenangi kejohanan antarabangsa,” katanya lagi.

Lawrence berkata, Chong Wei ketika ini adalah pemain terbaik negara.

“Malah beliau adalah pemain terbaik dunia dan kita menjadikan beliau sebagai contoh kepada pemain-pemain pelapis yang ada.

“Chong Wei mencapai tahap ini kerana disiplin, selain cara beliau melihat dirinya sebagai pemain terbaik dunia.

“Kerana itu beliau mengikuti rejim latihan yang ketat,” katanya lagi.

Oleh yang demikian, kata Lawrence, adalah penting untuk Chong Wei terus beraksi, dan muncuk sebagai inspirasi kepada pemain muda.

“Kita harus menerima hakikat bahawa tidak mudah untuk mengikut jejak Chong Wei.

“Kita tidak boleh memberikan tekanan kepada pemain-pemain muda hari ini untuk beraksi seperti Chong Wei.

Para pemain pelapis ini katanya, harus diberi masa yang secukupnya untuk muncul sebagai juara.

“Mencipta seseorang ikon bukannya sekelip mata. Kadangkala kita bergantung kepada tuah. Tapi dalam konteks profesional, ia harus berdasarkan kaedah yang berstruktur,” jelasnya lagi.

Di sebalik kritikan yang bertalu-talu, Lawrence mempertahankan BAM berada pada landasan yang tepat, dalam pemilikan pemain berkualiti.

“Kita ada dua pemain yang berada dalam ranking nombor satu dunia. Ini membuktikan apa yang kita lakukan selama ini betul.

“Mungkin yang perlu kita tekankan dalam mencari pelapis Chong Wei adalah mewujudkan kaedah atau rejim latihan yang berlainan.

Apa yang dilakukan kepada Chong Wei katanya, mungkin bersesuaian untuk pemain itu, tetapi tidak pada yang lain.

“Justeru kita perlu mengadaptasi situasi ini kepada bakat dan potensi lain yang kita ada,” jelasnya.

Ketika ini katanya lagi, fokus sememangnya kepada Chong Wei, namun BAM tidak mengabaikan pemain kedua dan ketiga yang mungkin akan ditonjolkan apabila Chong Wei mencapai antiklimaks pencapaiannya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru