KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN-Rusia (ARSOM) ke-14 yang berlangsung di Vientiane, Laos pada Rabu menyaksikan ASEAN dan Rusia bersepakat untuk memperluaskan serta memperkukuhkan lagi perkongsian dalam pelbagai bidang antara kedua-dua buah negara.

Dalam satu kenyataan, ASEAN menyambut baik kecenderungan Rusia untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang seperti sains, teknologi dan inovasi, kesihatan, pendidikan, pertanian dan keselamatan makanan, sumber tenaga, pengangkutan, pelancongan dan pengurangan risiko bencana.

Menerusi mesyuarat itu juga, pegawai-pegawai kanan bersetuju meneroka peluang meningkatkan kerjasama yang mempunyai kepentingan bersama sepertimemerangi keganasan dan faham pelampau, jenayah merentasi sempadan, ancaman keselamatan bukan tradisional dan keselamatan siber.

Mesyuarat dipengerusikan bersama Timbalan Menteri Luar Laos Thongphane Savanphet dan rakan sejawatannya dari Rusia Igor Morgulov, mencapai kesepakatan meneroka cara bagaimana mempercepatkan pelaksanaan cadangan mengukuhkan perkongsian sebagaimana terkandung dalam tiga dokumen rangka kerja ASEAN-Rusia

“Tiga dokumen itu ialah Deklarasi Sochi (dikeluarkan sempena Sidang Kemuncak Sochi), Pelan Komprehensif Tindakan ASEAN-Rusia 2016-2020 dan Laporan Rusia-ASEAN Eminent Persons Group pada 2016 yang mengandungi cadangan untuk mengerakkan perkongsian,” tambah kenyataan itu.

ASEAN juga telah bersetuju meneroka cadangan lanjut Rusia untuk mendapatkan perjanjian perdagangan bebas antara ASEAN dan Kesatuan Ekonomi Eurasia serta kepentingan melibatkan sektor perniagaan melalui misi perdagangan dan pameran.

Mesyuarat juga menyambut baik keputusan Rusia melantik Duta khas ASEAN yang berpangkalan di Jakarta menjelang Ogos 2017, ia sekaligus mencerminkan komitmen negara itu bagi meningkatkan penglibatan dengan blok berkenaan.

Selain itu, pegawai ASEAN mengalu-alukan penglibatan aktif Rusia dalam Forum Serantau ASEAN, Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Campur dan Sidang Kemuncak Asia Timur.

Dalam perkembangan lain, bersempena sambutan ulang tahun ke-50 ASEAN tahun ini, Rusia berkata negara itu akan menganjurkan beberapa acara khas termasuk persembahan kebudayaan.

Dialog Hubungan ASEAN-Rusia ditubuhkan pada 1996.

Rusia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak sebagai memperingati ulang tahun ke-20 Dialog Hubungan ASEAN-Rusia pada Mei 2016 di Sochi, di mana pemimpin dari kedua-dua negara bersetuju mewujudkan perkongsian lebih komprehensif dan substantif. Bernama