Wednesday, November 30, 2022

Pandelela dinobat olahragawati UM 2016

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dan ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg, masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Malaya (UM) pada Malam Anugerah Sukan UM 2016 semalam.

Pada majlis berlangsung di Dewan Semarak Akademi Pengajian Melayu UM itu, Nauraj yang membuat penampilan sulung di pentas Sukan Olimpik Rio 2016 mengetepikan cabaran atlet memanah negara, Haziq Kamaruddin dan pemain badminton perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain, yang turut tercalon bagi anugerah itu.

Sementara Pandelela yang mengharumkan nama negara dengan meraih pingat perak acara 10m platform seirama bersama pasangannya, Cheong Jun Hoong di Olimpik Rio 2016 menewaskan atlet lempar cakera, Choo Kang Ni dan Ti Wei Chyi daripada sukan badminton untuk bergelar Olahragawati.

Pandelela yang kini sedang beraksi di Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA di Kazan, Rusia, berkata anugerah itu menjadi pembakar semangat untuk beliau terus mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Saya ingin berterima kasih kepada UM di atas penghargaan dan sokongan yang diberikan selama ini. Anugerah ini akan saya jadikan pembakar semangat untuk terus melakar kejayaan bagi mengharumkan nama negara dan UM,” katanya kepadaBernama.

Nauraj dan Pandelela, masing-masing membawa pulang sebuah trofi dan wang tunai RM1,000 seorang.

Majlis berkenaan turut memberi penghargaan kepada tujuh atlet Olimpik negara yang beraksi pada Sukan Olimpik Rio 2016 apabila dianugerahkan Lencana Khas Sukan Universiti.

Tujuh atlet berkenaan ialah Pandelela, Wendy Ng Yan Yee, Ahmad Amsyar Azman (terjun), Haziq, Nauraj serta Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei (badminton).

Pengarah Pusat Sukan UM Prof Zulqarnain Mohamed berkata anugerah kepada semua atlet berkenaan adalah sebagai pengiktirafan serta penghargaan di atas jasa mereka mengharumkan nama negara dan universiti di peringkat antarabangsa.

“Diharapkan anugerah ini dapat menyuntik semangat atlet UM yang lain untuk menjadikan mereka sebagai inspirasi seterusnya mengikut jejak langkah kesemua atlet Olimpik pada masa akan datang,” katanya pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, pemain ragbi, Amirul Aqil Kamsol yang membantu negara menjuarai Divisyen Satu Kejohanan Ragbi Asia dan atlet catur, Alia Anin Azwa Bakri, menerima Anugerah Lencana Biru di atas pencapaian cemerlang dalam bidang sukan dan akademik. Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru