Mukah perlu wakil rakyat baharu, gantikan Leo Toyad

0
20

MUKAH: Ahli Parlimen Mukah Datuk Seri Dr Leo Michael Toyad perlu digugurkan sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang (PRU).

Difahamkan, sebagai penyandang kerusi itu sejak 1982 lagi, prestasi Leo sebagai wakil rakyat sejak kebelakangan ini, terutamanya selepas PRU ke-13 adalah merudum.

Menurut sumber akar umbi, Leo jarang-jarang turun berjumpa dengan rakyat, menyebabkan pengundi mahu beliau ditukar dengan calon lain yang lebih berminat untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Masa untuk Leo pergi sudah pun sampai. Beliau sudah menjadi wakil rakyat selama 35 tahun. Itu lebih daripada mencukupi. Sepatutnya Leo tidak lagi dicalonkan dalam PRU lalu,” kata seorang pengundi yang enggan namanya disiarkan.

Leo yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran dan Menteri Pelancongan, menurut pengundi di Mukah, kelihatan tidak lagi berminat.

Dalam PRU 2013, Leo menang dengan memperoleh 14,983 undi berbanding calon PKR yang meraih 2, 219 undi di kawasan majoriti Melanau itu.

Pemerhati menyifatkan kemenangan berkenaan bukan sangat disebabkan wibawa Leo, tetapi pengundi di Mukah memang penyokong kuat Barisan Nasional walaupun hakikatnya mereka tidak puas hati dengan Leo.

Justeru, mereka mahu calon pengganti biarlah individu yang berminat, berkelayakan tinggi, dan anak Melanau, tidak kira Islam atau bukan Islam.

Selain itu, calon berkenaan bukan sahaja orang yang sentiasa meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat dekat di hatinya, tetapi dapat mengemukakan pandangan dan idea bernas dan berani di Parlimen, bukannya wakil rakyat yang bisu.

“Hal ini penting dalam keadaan landskap politik yang sudah berubah. Wakil rakyat berkenaan bukan sahaja perlu rapat dengan rakyat, tetapi dapat mengartikulasikan pemikiran dan pandangannya dengan baik dan efektif di Parlimen,” kata seorang pemerhati.

Beberapa nama disebut-sebut sebagai pengganti beliau termasuk  Dr Anthony Valentine Laiseh, Datu Dr Sulaiman Hussaini, Sulaiman Sahari, dan Datu Sarudu Hoklai. – Sarawakvoice