Friday, September 30, 2022

[Kupasan] Debat batal, Mahathir-Nazri membisu di kedai cendol, tunggu 7 April pula…

Secara Rawak

SITUASI menjadi “bisu” apabila kedua-dua pihak, umpama perjumpaan mantan master dengan bekas perantis — Mahathir<>Nazri — tidak mahu menjadi orang terawal memulakan pertanyaan atau perbualan.

Bagaimanapun, pertemuan “segan silu” mereka tidak bisu melayan “rakan” bersebelahan.

Tun Dr Mahathir Mohamad seperti kekal layak sebagai seorang “master”.

Datuk Seri Nazri Aziz seperti dahulu, perantis yang “menghormati” masternya, takut-takut dalam berani.

“Sebagai penghormatan, saya hanya menunggu dia,” kata Nazri.

Memberitahu Utusan Malaysia 15 Mac, Nazri berkata, “kena ingat beliau bekas Perdana Menteri, bekas majikan saya, macam mana pun saya tetap menghormatinya sebagai seorang yang lebih tua…”

Kedua-dua pihak sebaliknya saling menunggu pihak yang satu lagi membuka mulut ketika perjumpaan mereka ditakdirkan berlaku sambil menikmati cendol dan laksa di gerai terkenal di Kuala Kangsar.

Sebelum ini, debat Mahathir<>Nazri anjuran Kumpulan Media Karangkraf di Kuala Kangsar ditangguhkan kerana tidak mendapat permit serta notis terlalu singkat dikemukakan kepada pihak berkuasa.

Namun, “pertemuan bisu” dengan “debat besar” yang diwar-warkan sebelum ini, sempat memberi pelbagai makna untuk ditafsirkan kalangan pemerhati politik semasa.

Meskipun mereka tidak bercakap, bahasa badan atau komunikasi nonverbal, “senyum tidak menjadi”, canggung… menarik untuk pelbagai tafsiran melalui rakaman video yang dimuat naik di media sosial.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu kedengaran bersungguh mahu berdebat dengan mantan perdana menteri sebelum ini berkata, beliau hanya mendiamkan diri ketika pertemuannya Mahathir kerana beliau tidak ditanya sebarang soalan.

Memetik Malaysiakini, Nazri berkata, “Jadi saya hanya menunggu dia bertanya apa-apa kepada saya.

“Dia tak tanya dan saya tak mahu ganggu privasi dia sedang menikmati cendol.”

Nazri mengaku bercakap dengan orang di sebelah kanan beliau kerana orang di sebelah kanan itu bertanya soalan kepadanya, sebaliknya Mahathir tak tanya apa-apa kepada beliau.

Manakala, bagi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mahathir pula berkata, tiada sebab untuk beliau bertanyakan anggota parlimen Padang Rengas itu, kerana Nazri sendiri yang beria-ia mahu bertemu beliau.

Mahathir berkata sinis bahawa beliau fikir Nazri ingin memberitahunya yang dia mahu meletak jawatan dari Umno.

Pada mesyuarat Pakatan Harapan di pejabat ketua pembangkang Parlimen Malaysia, Mahathir berkata Nazri sendiri berusaha bertemunya apabila berhenti menikmati cendol dan laksa di gerai terkenal di Kuala Kangsar.

Pada program di Kota Lama Kiri, Padang Rengas, Mahathir yang terkenal dengan sindiran sinis masih mengungkit pertemuan tersebut, “nak jumpa tapi tidak cakap kenapa?”

Mahathir juga berkata Nazri langsung tidak memandang wajahnya dalam pertemuan berkenaan walaupun empat jam menunggu ketibaan beliau di hadapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah.

“Kalau dia bisik pun saya boleh dengar, tapi dia tak bisik, duduk tengok depan sahaja.

“Habis-habis sangat, dia kata itu Sungai Perak… saya pun tahu itu Sungai Perak, tak perlu beritahu saya,” ujar Mahathir memetik Astro Awani.

Mahathir turut meluah, beliau meragui kebolehan Nazri memimpin negara kerana menganggap beliau tidak mampu menjaga serta membangunkan kawasannya sendiri.

Pada majlis lain ketika mikrofon yang digunakan Mahathir tiba-tiba tidak berfungsi, Mahathir berjenaka, “mikrofon ini seperti Nazri, hilang suara”.

Apapun, debat di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Kangsar sudah dibatalkan.

Pertemuan di kedai cendol sedap itu juga berlangsung bisu.

Kini, Mahathir masih menaruh rasa terujanya, “saya bersedia. Saya telah bersedia lama,” kata Mahathir ringkas… tidak apa, kita berdebat di Shah Alam pada 7 April”. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru