RUU355: Pas kesal dengan Parti Cinta Sabah

KOTA KINABALU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Ketua Penerangan Parti Cinta Sabah (PCS), Ramdi Indang. Pas Sabah menyifatkan kenyataan itu merupakan kenyataan politik yang berasaskan kebencian.

Menurut Ketua Penerangan Pas Sabah , Abdul Hisham Othman sebagai parti politik, PCS sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang dapat menimbulkan keharmonian dan memperjuangkan keperluan rakyat.

Seperti dilakukan oleh Pas dalam konteks Pindaan Akta 355, katanya, ia adalah sebahagian daripada kehendak rakyat, khususnya masyarakat Muslim.

Dengan memetik himpunan 355 pada 18 Februari  lalu di Kuala Lumpur yang dihadiri puluhan ribu orang di Kuala Lumpur, beliau berkata ia menunjukkan masyarakat Islam khususnya, mahu melihat akta berkenaan dipinda bagi menaik taraf bidang kuasa mahkamah syariah.

“Kenyataan Ramdi seolah-olah tidak memahami sistem perundangan negara ini. Sememangnya sekarang ini Malaysia mempunyai Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Cuma bidang kuasa mahkamah syariah yang terlalu rendah dan ianya perlu ditingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kenyataan seumpama ini boleh menimbulkan polemik dalam masyarakat. Sepatutnya politik sebegini sudah tidak perlu lagi dalam zaman moden ini,” katanya lagi.

Katanya, memandangkan pindaan akta terbabit masih belum dibahaskan lagi di Parlimen, maka lebih baik semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi jahat mengenai pindaan akta ini.

“Pas Sabah berharap, semua parti politik di Sabah supaya berpolitik secara matang dan jangan berprasangka jahat serta jangan mengamalkan politik kebencian,” ujarnya. – Sarawakvoice