SARATOK: Seorang pemandu lori cedera manakala kelindannya patah kaki selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Bukit Brayang, Jalan Saratok-Sarikei, dekat sini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 1.15 pagi dan sebuah jentera serta ambulans EMRS dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan ini melibatkan sebuah lori kargo yang dalam perjalanan ke Sibu, terlanggar bahagian belakang sebuah lori tangki yang rosak di bahu jalan.

“Terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian tempat duduk penumpang.

Kata Ling Hii, setelah mendapat laluan masuk, pasukan EMRS kemudian bertindak menstabilkan mangsa dengan memasang cervical collar dan KED.

“Pasukan penyelamat yang lain pula membuat ruang dengan mengangkat bahagian dashboad lori tersebut dengan menggunakan telescopic ram.

“Mangsa yang cedera di bahagian kaki berjaya dikeluarkan pada jam 2.00 pagi sebelum diserahkan kepada pihak paramedik Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.

Kes ini kata Ling Hii, kemudian diserahkan kepada pihak Polis Saratok untuk susulan.

Mangsa yang juga pemandu yang cedera di kepala dan tangan kemudian dikenal pasti sebagai Lau Hung Chuong, 47 tahun manakala kelindannya yang patah kaki kiri dikenali sebagai Su Kwong Kiong, 22 tahun. – Sarawakvoice