Monday, December 5, 2022

Masalah elektrik terputus: Grid kedua tangani isu tenaga di Sarawak – Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yakin masalah bekalan elektrik yang sering terputus kebelakangan ini di negeri Sarawak akan dapat ditangani sepenuhnya tidak lama lagi.

Menurutnya, dengan adanya talian grid kedua yang membekalkan transmisi 500kv yang sedang dalam proses pembinaan, ia akan menyediakan kuasa sokongan sekiranya talian transmisi yang sedia ada, dengan kapasiti 275kv dari Kemena berhadapan masalah.

“Ia akan menyelesaikan isu penyaluran kuasa ke seluruh pelosok Sarawak, dan memastikan ia sentiasa stabil pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Sarawak Energy Berhad (SEB) di Menara Isthimus di sini.

Abang Johari berkata, beliau berpuas hati dengan perancangan dan pengurusan syarikat pembekal kuasa utama Sarawak itu, dan yakin kepimpinan yang sedia ada mampu menjadikan syarikat itu pembekal tenaga yang utama di negara ini.

“SEB bukan sahaja bertanggungjawab membekalkan tenaga kepada para pengguna di negeri ini, malah berperanan dalam menarik pelaburan dengan menawarkan harga tenaga yang murah,” katanya lagi.

Oleh itu katanya, beliau telah menegaskan kepada Lembaga Pengarah SEB agar terus meningkat infrastruktur pembekalan tenaga selain menjadikan Singapura sebagai kayu ukur, yang perlu dicontohi.

“Kita ada kelebihan untuk menarik lebih pelaburan di Sarawak kerana memiliki tenaga yang boleh diperbaharui.

“Malah dengan keupayaan meningkatkan kapasiti pengeluaran tenaga, kita mampu menjadi rakan pembangunan di Borneo; dengan membekalkan Kalimantan, Brunei malah Sabah dengan bekalan tenaga yang ada,” tambahnya lagi.

Mengulas tentang pembelian Bakun daripada Menteri Kewangan Diperbadankan, beliau berkata ia sedang dalam proses perincian akhir, dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Menjawab soalan tentang Empangan Hidroelektrik Balleh, beliau berkata, projek itu telah dimulakan, dan kerja-kerja awal kini sedang dilaksanakan.

Ini merupakan lawatan julung Ketua Menteri ke SEB selepas mengambil alih jawatan pada Januari lalu.

Turut hadir Menteri Kemudahan Awam, Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Morshidi Ghani, Pengerusi SEB Tan Sri Abdul Hamed Sepawi dan Ketua Pegawai Eksekutif SEB, Sharbini Suhaili. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru