KUALA LUMPUR: Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke India bermula Jumaat ini mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara yang terjalin selama 60 tahun.

Lawatan itu ialah atas undangan Perdana Menteri India Narendra Modi dan ini merupakan lawatan kali ketiga Najib ke negara itu sejak menyandang jawatan perdana menteri pada 2009.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam, Kementerian Luar, lawatan itu membuka peluang bagi kedua-dua negara untuk bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama.

Semasa lawatan, Najib dijadual melawat Chennai, New Delhi dan Jaipur.

Perdana Menteri akan diiringi oleh isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan.

 Di New Delhi, Najib akan diberi sambutan rasmi di Istana Presiden, melakukan kunjungan hormat kepada Presiden India, Shri Pranab Mukherjee diikuti mesyuarat tertutup dengan rakan sejawatannya dari India dan mesyuarat dua hala anggota kanan delegasi kedua-dua negara.

Sidang media bersama akan diadakan sebelum makan malam rasmi yang dihoskan oleh Perdana Menteri Modi bagi meraikan Najib dan Rosmah.

“Isu-isu yang dijangka dibincangkan semasa mesyuarat dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, projek infrastruktur, kerjasama pertahanan, perjanjian perkhidmatan udara, pelancongan dan hubungan budaya serta isu-isu kepentingan bersama mengenai kerjasama serantau dan antarabangsa.

“Beberapa memorandum persefahaman kerajaan dengan kerajaan bakal dimeterai dan kedua-dua pihak juga akan bertukar-tukar dokumen semasa lawatan itu. Pertukaran dokumen tersebut akan disaksikan oleh Najib dan Modi,” kata kenyataan itu.

Selain mesyuarat dua hala, Najib akan mengadakan sesi dialog dengan pemimpin dan peneraju industri dari sektor utama perniagaan di India dan dijangka menghadiri majlis makan tengah hari perniagaan dan Mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC).

Aturcara lawatan Najib di Chennai termasuk menghadiri majlis jamuan rasmi yang dihoskan oleh Pemangku Gabenor Tamil Nadu, Vidhyasagar Rao dan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Tamil Nadu, Edappadi Palaniswamy.

Perdana Menteri juga akan memanfaatkan peluang ini untuk mengadakan sesi dialog dengan masyarakat Malaysia termasuk pelajar.

Najib akan berlepas ke Jaipur untuk meninjau penyertaan Malaysia dalam projek-projek infrastruktur di India.

Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Rajasthan, Vasundhara Raje Scindia, dan menghadiri perbincangan peringkat tertinggi mengenai kemajuan syarikat-syarikat Malaysia dalam projek infrastruktur di Jaipur.

“Pada hari terakhir lawatan, Perdana Menteri akan merasmikan kompleks Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi yang baru siap,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, Malaysia yakin bahawa lawatan itu akan mengukuhkan lagi hubungan persahabatan yang sedia terjalin antara Malaysia dan India bukan sahaja meliputi kerjasama dua hala tetapi juga isu-isu serantau dan antarabangsa. Bernama