Friday, October 7, 2022

Enggan diperlekeh, Imigresen Sarawak cekup PATI setiap hari — Ketua Penguatkuasa

Secara Rawak

KUCHING: Empat operasi secara berasingan telah dilaksanakan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching semalam, sebagai sebahagian daripada kempen “Hari-hari Operasi” jabatan tersebut.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Bahagian tersebut, Maspaun Bolhassan, operasi pertama bermula sekitar jam 3.20 petang, melibatkan 16 anggota.

“Pemeriksaan di bawah Ops Ikrar (Selera) dilakukan di sebuah premis makanan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce dan tiga lelaki warga India dan seorang wanita Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Perkara 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 — menyalah guna Pas Lawatan Sosial untuk bekerja tanpa permit yang sah.

Pada sebelah petang katanya, satu lagi pasukan yang melibatkan 17 anggota unit operasi telah membuat pemeriksaan di sekitar Demak Laut dekat sini sekitar jam 5.00 petang.

“Operasi di bawah Ops Ikrar (Kutip) itu berjaya mencekup seramai 21 individu, yang terdiri daripada lima lelaki warga tempatan, 15 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati seorang lelaki warganegara Indonesia telah gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah ketika berada di negeri ini.

Subjek katanya, ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Operasi katanya, diteruskan lagi oleh satu pasukan 40 anggota operasi sekitar jam 1.50 awal pagi semalam.

“Dua lokasi berbeza telah diserbu secara berasingan dalam Ops Ikrar (Sapu) bertempat di rumah kongsi tapak pembinaan di Taman Sourbaya Indah dan rumah kongsi tapak pembinaan di Jalan Daya, Estet Perindustrian Pending.

Seramai 142 individu telah diperiksa dalam kedua-dua operasi tersebut.

“Mereka terdiri daripada 30 lelaki dan tiga wanita tempatan, 96 lelaki serta 13 wanita yang kesemua mereka adalah warganegara Indonesia.

“Hasil pemeriksaan dan saringan yang dibuat di kedua-dua lokasi tersebut telah berjaya menahan seramai 25 PATI yang terdiri daripada 24 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia.

Daripada jumlah itu, katanya seramai 20 lelaki dan seorang wanita telah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan dan perjalanan yang sah.

“Sementara selebihnya, seramai empat lelaki warga Indonesia ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana disyaki telah tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan.

“Ini menjadikan kesemua PATI yang berjaya diberkas adalah seramai 30 orang yang terdiri daripada empat lelaki warga India, dua wanita dan 24 lelaki warga Indonesia.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Negeri, Garry Belayong ketika dihubungi berkata, pihaknya akan melaksanakan operasi-operasi ini tanpa mengira masa dan di mana-mana Bahagian.

“Ini kerana kita tidak ingin jabatan kita diperlekeh dan ditohmah bertubi-tubi oleh mana-mana pihak dan individu yang tidak tahu kedudukan sebenar tugas dan tanggungjawab yang kita pikul.

“Kita buat operasi, buat tangkapan terhadap warga asing yang melanggar Akta dan Peraturan Imigresen dan tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak individu dan syarikat yang berkaitan melindungi dan menggaji PATI ini.

Kesemua PATI yang ditangkap tersebut telah dihantar ke Depot Tahanan Pati Imigresen Semuja bagi tujuan siasatan lanjut. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru