Tuesday, October 4, 2022

39 individu dijaring polis dalam 25 serbuan berkaitan judi di Sarawak minggu lalu – Dev Kumar

Secara Rawak

KUCHING: Lagi penjual loteri haram dan judi siber diserbu.

Bermula 20 hingga 26 Mac, polis Sarawak telah melaksanakan 25 serbuan di seluruh negeri dan menahan 39 individu yang terbabit dengan aktiviti tersebut.

Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Datuk Dev Kumar berkata, daripada jumlah itu, 20 serbuan berkait dengan penjual loteri 4D haram.

“Dalam operasi Ops Dadu ini, pasukan daripada ibu pejabat siasatan jenayah kontijen Sarawak telah melaksanakan 14 serbuan di Kuching, Padawan, Kota Samarahan dan Lawas.

“Ini diikuti oleh tiga serbuan oleh pasukan siasatan jenayah Padawan dan masing-masing satu oleh Kuching, Miri, Bintulu, Sarikei, Serian, Marudi, Lubok Antu dan Limbang.

“Daripada 20 serbuan itu, sebanyak 29 individu dicekup dan sejumlah RM10,714 wang tunai dirampas.

“Turut disita telefon bimbit, pencetak, kalkulator dan alat tulis,” katanya sambil memaklumkan kebanyakan serbuan dilakukan di Kuching dan Padawan.

Serbuan terhadap premis judi siber pula katanya, dilakukan di Lawas, Limbang, Serian dan Marudi menyebabkan 10 individu ditahan, manakala 40 unit komputer, tablet dan mesin video disita.

“Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM3,440,” katanya.

Dev berkata, serbuan di Lawas dilakukan oleh pasukan daripada ibu pejabat Kontinjen setelah menerima laporan berhubung aktiviti tersebut.

“Sebanyak dua premis diserbu, enam individu dijaring dab 13 mesin disita.

Katanya daripada 39 yang ditahan, 22 merupakan wanita dan kesemua suspek berusia di antara 17 hingga 40 tahun.

Sebanyak 11 serbuan dilakukan di tempat awam termasuk kaki lima kedai, lapan di kawasan premis kedai, tiga di kedai runcit dan tiga di kedai kopi.

“Kesemua suspek akan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru