DALAT: Wanita warga emas yang hilang di Batang Igan, semalam ditemui mati lemas kira-kira satu kilometer dari jeti, lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, berkata, mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dianggotai pasukan bomba dan penduduk kampung sekitar jam 9.15 pagi tadi.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terapung di Sungai Kut, tanpa kesan kecederaan pada anggota badan, sekali gus menepis tanggapan mangsa diserang buaya.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.

Semalam lebih 20 bot dan 80 penduduk terlibat dalam operasi mencari warga emas, Jini Tarubok, 75 tahun yang dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Turut terlibat dalam operasi yang berlokasi 80 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah ialah dua anggota Balai Bomba dan Penyelamat Mukah, enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dan tiga anggota Bomba Sukarela Kampung Medong.

Gerakan SAR diaktifkan sekitar jam 9 pagi semalam selepas wanita tersebut gagal pulang ke rumahnya di Kampung Bungan Besar, dekat sini, pada jam 5 petang, Isnin lalu.

Menurut Ling Hii lagi, mangsa pada mulanya dikhuatiri disambar buaya kerana hanya perahunya ditemui hanyut oleh penduduk kampung pada petang kejadian.

Mayat mangsa telah dituntut keluarga untuk proses pengebumian.

Difahamkan tiada laporan polis dibuat. – Sarawakvoice