ACEH: Viral di media sosial, sebuah video yang memaparkan sekumpulan penunggang motorcross menjumpai sosok manusia kerdil di hutan Aceh.

Fredo Pastrana melalui akaun Fredography memuat naik video berdurasi kurang dua minit itu di YouTube pada Rabu minggu lepas dan ditonton hampir 2.5 juta kali warga net.

Rakaman video bermula dengan beberapa penunggang motorcross yang tiba-tiba terserempak sosok berbogel berlari laju di jalan rentas.

Motosikal yang dinaiki salah seorang penunggang yang terkejut menjumpai makhluk misteri itu terjatuh.

Selepas berhenti beberapa detik, diketuai oleh penunggang yang membawa kamera rakaman terus mengejar sosok misteri itu yang menghilang di sebalik semak.

Mereka terlihat mencari lembaga tersebut di kawasan semak-samun, sebelum melanjutkan perjalanan.

Sosok yang membawa kayu pokok itu dispekulasi oleh salah seorang penunggang sebagai suku Mante yang disangka sudah pupus dan pernah mendiami pedalaman Aceh.

Spekulasi lain mengatakan makhluk tersebut ialah orang pendek dari legenda makhluk jenis manusia yang pernah menghuni hutan pulau Sumatera.

Orang pendek, manusia kerdil atau juga disebut hobbit menjadi bahan kajian sarjana.

Di pulau kecil di Nusa Tenggara Timur sarjana pernah menjumpai fosil mereka.

Menurut BBC pada Ahad, pemuat naik video tersebut menolak untuk diwawancara oleh wartawannya.

Sementara, melalui akaun sosialnya, Fredo mengatakan terdapat sejumlah penyelidik mahu mencari detil lokasi tersebut, namun dia terpaksa merahsiakannya demi “kelestarian dan kesinambungan alam”.

Menurut sejarawan Aceh, Rusdi Sufi, Suku Mante banyak disebut di kalangan penduduk sebagai penduduk asli Aceh.

“Orangnya pendek dan tinggal di pedalaman. Tidak ada komunikasi dengan peradaban luar,” kata Rusdi menurut BBC.