Monday, November 28, 2022

[Kolumnis] Pedulikah parti PBB terhadap generasi muda di Sarawak?

Secara Rawak

Patah tumbuh, hilang berganti, begitulah ungkapan yang paling sesuai untuk diutarakan terhadap norma politik di mana-mana termasuk di Sarawak. Beberapa bulan yang lalu, Bumi Kenyalang menyaksikan pelantikan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri.

Dalam menggalas tanggungjawab yang besar untuk memastikan kemajuan di negeri terbesar di Malaysia itu, generasi muda atau milenial haruslah diberikan perhatian yang khusus.  Mereka memainkan peranan yang signifikan dalam landskap politik masa kini dan semestinya pada masa akan datang.

Kekuatan darah muda

Milenial tidak disangkal jauh lebih pintar, berbakat dan hebat jika dibandingkan dengan datuk dan nenek moyang mereka sebelum ini. Seyogia hakikatnya harus begitu!  Milenial dilabel sebagai generasi yang sangat bertuah. Mereka memiliki nutrien yang secukupnya, akses pendidikan yang luas, infrastruktur yang moden, pendedahan kepada dunia sains dan teknologi, serta peluang yang banyak di mana-mana bagi perkembangan diri.

Istilah terlalu muda dan mentah untuk memerintah sudah menjadi mitos semata-mata. Ikon-ikon muda seperti Justin Trudue, David Cameron, Matteo Renzi dan Mark Zuckenberg merupakan antara nama darah muda yang telah membuktikan kemampuan kepemimpinan mereka dalam mengemudi nahkoda masing-masing. Sesungguhnya milenial turut mempunyai bakat dalam pelbagai bidang yang tidak boleh dipandang enteng begitu sahaja, tetapi juga haruslah dicanang dan dimanfaat.

Cabaran Parti PBB

Seperti anak yang kecil, milenial dicorak dan ditentukan oleh generasi yang sebelumnya bagi memastikan kemajuan serta keberlangsungan sesebuah tamadun, kerajaan mahupun apa-apa organisasi. Begitulah juga tampuk kepimpinan; jika generasi sekarang tidak memanfaatkan kekuatan yang dimiliki oleh generasi seterusnya, maka kelangsungan sesebuah kerajaan akan terancam. Hatta, pencarian bakat kepemimpinan baharu perlulah senantiasa dilakukan dan secara berterusan.

Namun, beberapa kekangan yang perlu dihadapi terlebih dahulu oleh PBB bagi lebih mendekati golongan ini. Kekangan utama  merupakan persepsi milenial terhadap politik. Politik sering dilihat sebagai sesuatu yang kotor, keji dan menakutkan di mata golongan muda sehingga menyebabkan ada antara mereka enggan berbicara mengenai perkara tersebut. Mereka tidak menyedari bertapa mereka memiliki banyak kuasa dalam konteks berdemokrasi, tetapi kerana sikap tidak endah mereka, pengeksploitasi oleh pihak-pihak tertentu bagi kepentingan politik berlaku.

Pada  kemudian hari, mereka jugalah yang akan mengeluh dan gusar mengenai tampuk pemerintahan yang telah dipilih secara sah melalui sistem pilihan raya. Kebanyakan mereka juga tidak mendaftar sebagai pengundi dan tidak mahu turun mengundi. Soalannya, adakah salah pemimpin atau salah kita sendiri yang tidak serik dan sedar tentang persekitaran politik? Milineal sering menyalak perubahan, tetapi mereka sendiri yang enggan berubah atau menjadi agen kepada perubahan.

Turut menyumbang kepada kekangan yang dihadapi oleh PBB merupakan kurangnya platform untuk orang muda di Sarawak. Berbeza dengan UMNO di Semenanjung dan Sabah dilihat menyediakan peluang yang agak luas kepada golongan-golongan muda. Mereka menubuhkan organisasi seperti Kelab UMNO Luar Negara (KULN) dan Biro IPT UMNO bagi menarik minat dan memberi pendedahan kepada golongan ini .

UMNO malah menyediakan pentas dan ruang bagi wakil-wakil muda daripada organisasi tersebut di Perhimpunan Agung UMNO pada setiap tahun untuk berucap. Dengan cara ini, milenial akan berasa lebih dihargai dan merasakan bertapa pentingnya peranan mereka dalam menentu hala tuju negara. Model relatif yang lain turut ditunjukkan oleh PKR dalam menubuhkan ‘Invoke’ yang merupakan pertubuhan sukarelawan muda dan mekanisme kempen bagi parti tersebut. DAP juga turut menyediakan program ‘internship’ kepada golongan muda yang berminat mengambil pengalaman bekerja bersama wakil rakyat daripada parti itu.

Melihat ke hadapan

Sesungguhnya, sudah tiba masanya PBB di bawah pimpinan baharu Abang Johari dan sayap pemuda di bawah kendalian Datuk Seri Fadillah Yusof mengikut jejak langkah beberapa parti politik yang telah disebut di atas bagi mengurangkan jurang di antara PBB dan Milenial.

Platform yang khusus haruslah diwujudkan bagi menarik golongan muda ke arah parti serta membuka mata mereka tentang bertapa pentingnya peranan mereka dalam membentuk masa depan kerajaan. Organisasi seperti Biro IPT sangat penting, bagi mencari bakat-bakat kepimpinan di universiti  mahupun institusi pendidikan yang lain bagi meneruskan kelangsungan kepimpinan negeri bahkan negara dan juga untuk mengelakkan berlakunya ‘waste of talent’.

Sinergi antara PBB dan Milenial pasti akan menunjukkan hasil yang sangat memberangsangkan buat Sarawak. Semuanya terletak di tangan PBB dan orang muda. Soalannya , adakah milineal sanggup membiarkan masa depan mereka ditentukan oleh generasi terdahulu sahaja? – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru