Warga emas sukar dapatkan bantuan perumahan dan kebajikan di Miri

MIRI: Nasib golongan warga emas dan kurang berkemampuan terus hidup melarat dan terhimpit di bandar raya Miri. Dengan harga barangan keperluan harian yang semakin meningkat dicekik GST dan harga petrol yang tidak menentu, kehidupan harian mereka terus tertekan.

Harga rumah dalam kawasan bandar raya memang terlalu mahal dan sukar untuk dimiliki oleh golongan yang kurang berkemampuan.

Walaupun kerajaan mempunyai Program Bantuan Rumah (PBR) yang  menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan bagi membolehkan kumpulan sasar untuk tinggal di perumahan yang lebih baik dan selamat berbanding sebelum ini, namun tujuan program ini masih jauh dari mencapai sasaran.

Seorang penduduk di Tudan Fasa 5 Lutong Jalan Kuala Baram dekat sini mengadu masalah tempat tinggal mereka yang usang dan hampir roboh.

Maru Timin, 61 tahun dan isterinya Maliah Dris, 63 tahun amat memerlukan bantuan segera membaiki rumah mereka yang usang.

Maru bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala isterinya Maliah tidak bekerja — hanya menjaga cucu mereka yang masih kecil dan tidak dapat bersekolah.

Pendapatannya tidak mencukupi untuk menampung pembelanjaan harian keluarganya dan kadang-kadang terputus bekalan makanan disebabkan tiada wang untuk membeli makanan dan terpaksa meminjam wang daripada rakan-rakan.

Maru pernah memohon bantuan daripada pihak yang berwajib tahun lepas untuk membina semula rumah mereka yang usang itu tetapi sehingga kini tiada sebarang jawaban diterima.

Menurut isterinya, pihak yang berkenaan datang ke rumah mereka untuk tujuan kaji selidik tetapi tiada bantuan diberikan seperti yang sepatutnya.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal untuk memberikan bantuan bulanan kepada keluarga mereka kerana mereka juga menjaga cucu mereka yang berusia 9 tahun yang masih tidak bersekolah.

PAS amat bersimpati akan nasib yang ditanggung oleh keluarga ini dan memberi sedikit sumbangan untuk mengurangkan bebanan yang mereka tanggung.

Pihak berkuasa, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Baitulmal juga dirayu memberikan bantuan bulanan kepada keluarga ini. Cucu mereka yang masih belum bersekolah sepatutnya diberi peluang untuk belajar di sekolah kerajaan.

PAS menggesa pihak kerajaan yang mempunyai peruntukan untuk bantuan rakyat termiskin dan mereka yang kurang berkemampuan agar memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi oleh mereka yang amat memerlukan bantuan ini.

Kita menggesa pihak yang berkenaan untuk turun padang dan apabila ada aduan yang dihadapi oleh golongan ini perlu diberi perhatian dan tindakan segera.

Berilah bantuan sewajarnya kerana kami telah menerima aduan daripada kumpulan sasar ini dan mereka sukar untuk mendapatkan bantuan yang sepatutnya.

Ini kerana mereka perlu mengisi borang tertentu dan akan dirujuk dengan pelbagai istilah sehingga mereka berasa sukar untuk mendapatkan bantuan.

Kita harap masalah rakyat yang sukar untuk mendapatkan bantuan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya daripada pihak berkuasa dan pihak yang berkenaan. Kerjasama dengan pihak berkuasa dan mereka yang berkenaan adalah perlu untuk mengatasi masalah rakyat ini.

* Jofri Jaraiee merupakan Pesuruhjaya PAS, Sarawak