KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam menjelaskan Pas tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana bercanggah dengan dasar perjuangannya.

“Pas tidak bersama Pakatan Harapan kerana bercanggah dengan dasar dan konsepnya manakala di dalamnya ada parti dan pemimpin yang terus menerus menentang Islam secara terbuka, bersembunyi atau oportunis,” katanya.

Malah, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, parti Islam itu tidak akan, menyertai Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ujarnya dalam kenyataan itu, Pas juga tidak boleh menyertai BN kerana pernah menyertai parti itu dan BN kini memerintah negara dengan bebanan masalah dan penyakit serta masih ada halangan terhadap dasar dan matlamat Pas.

Menyertai BN, ujarnya sinis, umpama  memikul biawak hidup walaupun sebahagian kalangan mereka yang mencipta masalah dalam BN telah pun keluar dan menyertai Pakatan Harapan.

“Bahkan menyertai PH biawaknya lebih besar dan penyakitnya lebih parah,” katanya.

Penganalisis politik berkata siapa yang bakal disokong Pas dalam PRU nanti akan menentukan pihak yang menguasai Putrajaya, dan dengan pendirian ditegaskan Pas itu, PRU-14 yang dijangka September atau Oktober semakin menarik diperhatikan. – Sarawakvoice