Friday, September 30, 2022

Pertemuan bisu antara Mahathir dengan Nazri di Kuala Kangsar semalam

Secara Rawak

PADANG RENGAS: Pertemuan yang ditunggu-tunggu akhirnya berlaku petang semalam antara Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.

Semua orang teruja untuk melihat pertemuan penting dan bersejarah di Kuala Kangsar itu.

Tetapi dalam pertemuan singkat selama 30 minit itu, mantan Perdana Menteri kemudian menyindir dalam satu ceramah di Kota Lama Kiri malam tadi mengapa Nazri langsung tidak berbual dengannya walaupun sebelum itu Ahli Parlimen Padang Rengas tersebut menunggu beliau berjam-jam lamanya.

“Hari ini dia bersungguh-sungguh nak jumpa dengan saya, saya pun tak tahu kenapa. Tapi bila jumpa dekat tempat jual cendol, dia tak kata apa pun. Nak jumpa tapi tidak cakap kenapa?” katanya. Nazri telah menunggu ketibaan Mahathir bersama-sama  isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di hadapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah selama empat jam bersama-sama sekitar 50 penyokong.

Tambah Dr Mahathir, Nazri langsung tidak memandang wajahnya dalam pertemuan berkenaan.

“Entah kenapa dia diam seribu bahasa duduk tepi saya. Kalau dia bisik pun saya boleh dengar, tapi dia tak bisik, duduk tengok depan sahaja,” kata Mahathir lagi.

‘Pertembungan’ antara Mahathir dengan Nazri berlaku ketika Mahathir, Hasmah dan anaknya Datuk Seri Mukhriz tiba di kawasan terbabit untuk berjumpa dengan rakyat sekitar 4.30 petang semalam, dengan Nazri sudah berada di situ seperti dijanjikan.

Mereka sebenarnya berjumpa di Lembah Sungai Perak selepas Nazri berlepas dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, tempat debat sepatutnya berlaku.

Pertemuan dilihat agak ‘harmoni’ tetapi Mahathir kelihatannya tidak banyak mahu bercakap, dengan memberi tumpuan kepada laksa yang dimakannya.

Manakala Nazri pula lebih banyak bercakap dengan lelaki di sebelahnya, sambil makan candol meskipun sekali sekala mereka berdua kedengaran gelak ketawa. Tetapi gelak ketawa itu lebih disebabkan tergeletek oleh kata-kata orang lain di sekitar mereka.

Debat antara Nazri dengan Mahathir semalam tidak boleh diteruskan kerana tidak mendapat permit daripada polis. Akhirnya, debat itu akan diadakan di Shah Alam pada 7 April depan.

Pada petang Sabtu, Dr Mahathir dan Nazri telah meluangkan masa bersama hampir 30 minit di sebuah gerai cendol di Lembah Sungai Perak.

Kedua-dua ahli politik itu sebelum ini dijadualkan berdebat di MRSM Sultan Azlan Shah di sini pada Sabtu namun ditunda pada 7 April depan kerana gagal mendapatkan permit daripada pihak berkuasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan debat antara  Nazri  dengan Mahathir akan lebih memihak kepada Pengerusi Bersatu itu  kerana ia memberi peluang yang baik kepada Mahathir memandangkan kedudukannya dari pihak pembangkang.

“Debat seumpama ini merupakan sesi bertukar pendapat yang biasa di mana ia beri peluang kepada kedua-dua pemimpin mengemukakan pandangan secara berasingan.

Namun, jika debat itu antara Tun Mahathir dengan Nazri, peluang akan lebih memihak kepada Mahathir. Beliau (Mahathir) boleh mengemukakan pelbagai masalah berkaitan kerajaan,” beliau dipetik sebagai berkata di Gua Musang semalam. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru