Thursday, December 8, 2022

Pas hargai sumbangan polis, kekang jenayah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kesungguhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani dan mengekang jenayah khususnya, merupakan sumbangan besar kepada jaminan keharmonian rakyat dan pembangunan negara, kata Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata,  kewibawaan, integriti, kecekapan dan pengorbanan PDRM dalam menjalankan tanggungjawab serta peranan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam amatlah dihargai.

“Namun, dalam realiti cabaran dunia masa kini, perlunya kemahiran persiapan anggota dan aset dipertingkatkan dari masa ke masa agar mampu mendepani setiap situasi yang mendatang,” katanya dalam perutusan merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh pegawai, anggota dan kakitangan pasukan (PDRM) atas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-210, semalam.

Pas, ujar Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen  Marang  berharap, pihak kerajaan memberi perhatian sebaiknya terhadap usaha mengukuhkan keupayaan semasa PDRM termasuk kebajikan kalangan keluarga, anggota ditimpa musibah dan yang telah bersara dari perkhidmatan.

“Masyarakat juga diseru agar sentiasa memberi kepercayaan dan kerjasama sebagai satu sokongan bergandingan bahu supaya matlamat kesejahteraan dapat dikecapi semua,” katanya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru