Thursday, September 29, 2022

KPT laksana 3 program lahir insan seimbang, jamin masa depan negara

Secara Rawak

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan tiga program bagi melahirkan modal insan yang seimbang dari segi ilmu dan akhlak.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata tiga program tersebut adalah Program Gap Year 2017, Program Purata Nilai Gred Berintegrasi (icGPA) dan program 2U2I.

“Masa depan negara bergantung kepada cara kita mengubah dan membentuk sistem pendidikan negara. Pensyarah pada masa kini perlu mengubah cara mereka mengajar dengan memberi tumpuan kepada nilai positif seperti kerja berpasukan dan kesukarelawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2016 di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

Menurut Idris, ketiga-tiga sistem ini direka untuk mengatasi masalah ketidaksepadanan antara kualiti graduan dan kehendak majikan memandangkan sistem sedia ada hanya mengukur kemampuan akademik pelajar semata-mata.

“Melalui kaedah icGPA ini, pelajar perlu cemerlang secara keseluruhan sebelum menentukan CGPA. Ini termasuk pembabitan pelajar dalam kokurikulum, aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan, serta kemahiran dan kepemimpinan.

“Program Gap Year 2017 yang julung kali dibangunkan akan membabitkan lapan universiti awam yang akan memberi peluang kepada mahasiswa menimba pengalaman dan melaksanakan kerja sukarelawan di agensi awam.

“Program 2U2I pula adalah program belajar sambil bekerja yang memperuntukkan penuntut untuk belajar selama dua tahun dan membuat latihan industri selama dua tahun bagi meningkatkan aspek praktikal bagi program Sarjana Muda,” jelasnya.

Sementara itu bagi majlis anugerah berkenaan, 15 anugerah mengikut kategori dipertandingkan dengan satu anugerah utama direbut iaitu Anugerah Menteri Pendidikan Tinggi sekali gus dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Kebangsaan.

Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Farah Nabilah Abdul Rahman menjadi penerima anugerah berkenaan yang menjadikannya Tokoh Siswa Kebangsaan 2016.

Anugerah Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi pula diberikan kepada semua mahasiswa institusi pengajian tinggi yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru