LUNDU: Seramai 107 belia dari kawasan Sebuyau, Sadong Jaya, Serian, Tebedu, Padawan, Bau dan Lundu menyertai Program Bergerak Transformasi Vokasional Belia (MYTV) yang berlangsung di sini semalam.

Program itu antara lain menyediakan peluang kemahiran melibatkan sektor pembinaan, penyediaan makanan, bidang kecantikan, gunting rambut dan seni tari.

Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki  Mokhtar dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak, Kameri Affendi secara bersama telah merasmikan upacara penutupan program ini yang diadakan di Kem Bina Negara Sempadi.

Terdahulu, program yang dilangsungkan pada 11 hingga 25 Mac ini bertujuan meningkatkan taraf kehidupan belia-belia luar bandar dan pedalaman di seluruh Sarawak.

Menurut Mohd Zaki, program ini merupakan usahasama strategik Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Negeri Sarawak yang diterajui oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan Tentera Darat Malaysia dengan sasaran menyediakan kemahiran teknikal dan vokasional kepada belia-belia di kawasan luar bandar dan kawasan terpencil.

“Ia membolehkan mereka lebih berdaya saing dalam pasaran pekerjaan dan melebarkan peluang untuk  bekerja di sektor-sektor ekonomi yang memerlukan skil dan kemahiran tertentu.

Menerusi program ini, katanya sebahagian daripada peserta ini menjalani latihan kemahiran pembinaan seperti pertukangan kayu, menerap bata, kerja paip dan pendawaian elektrik serta menjalani latihan praktikal dengan melaksanakan projek masyarakat; iaitu membaik pulih Balai Raya Kampung Stoh.

“Hasil daripada latihan ini, peserta berjaya menerima ‘kad hijau’ yang melayakkan mereka bekerja dalam sektor pembinaan pada masa hadapan.

“Peserta-peserta ini juga akan ditawarkan untuk menjalani program susulan dengan institusi-institusi latihan seperti Akademi Binaan Malaysia, Kolej Komuniti dan Kolej Centex dengan tajaan sepenuhnya oleh kerajaan.

Jelas Zaki, program seumpama ini telah dilaksanakan sebanyak enam kali sepanjang tahun 2015 dan 2016 bertempat di Long Wat, Belaga, Kampung Kuala Nyalau, Bintulu dan Kampung Tanam, Dalat, Belawai, Baram dan Lawas dan melibatkan seramai 749 orang peserta.

Turut diadakan sempena penutupan program semalam adalah konsert dan persembahan pentas oleh Kugiran Kumpulan D’Bamfylde daripada Tentera Darat Malaysia, Mobile CTC, pameran, kaunter perkhidmatan perubatan dan pergigian oleh ATM dan Jabatan Kesihatan Sarawak. – Sarawakvoice