KUCHING: Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr James Masing Jemut ialah antara mereka yang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri Dr Wong Soon Kai di kediamannya di sini hari ini.

Turut memberi penghormatan terakhir kepada bekas timbalan ketua menteri dan bekas presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu hari ini ialah speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Seri Mohd Asfia Awang Nassar, menteri kabinet negeri dan menteri muda serta bekas timbalan ketua menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Mereka disambut oleh isteri mendiang, Puan Sri Dr Jane Yong dan anggota keluarganya di kediaman mereka di Lorong Tabuan 2, off Jalan Tabuan. Wong meninggal dunia pada 22 Mac ketika berusia 90 tahun.

Abang Johari ketika ditemui pemberita kemudian berkata Soon Kai menyertai politik pada 1974 dan merupakan seorang daripada mereka yang membantu menyatukan masyarakat Cina di Sarawak serta membantu menstabilkan SUPP dan kerajaan Negeri.

Mendiang Tan Sri Wong Soon Kai ialah anggota parlimen pada pertengahan tahun 70-an dan 80-an dan kemudian menyertai pentadbiran negeri di bawah Allahyarham Tun Abdul Rahman Yaakub dan kemudian di bawah Tun Abdul Taib Mahmud.

Beliau berjaya memainkan peranan menyatukan kaum Cina untuk menjadi sebahagian daripada arus perdana dalam pentadbiran negeri,” kata Abang Johari.

Soon Kai memasuki politik dengan mengorbankan profesionnya sebagai seorang pakar bedah demi masyarakat Cina, yang akhirnya menjadi sebahagian daripada pasukan untuk membangunkan Sarawak.

“Beliau seorang yang amat merendah diri tetapi tegas.

“Beliau mahu masyarakat Cina memainkan peranan mereka bukan sahaja dalam politik tetapi dalam kerajaan untuk membangunkan negeri itu.

Wong ialah presiden SUPP yang ketiga. Beliau kali pertama memenangi kerusi Sibu atas tiket SUPP/BN pada pilihan raya umum 1978 dan menyandang beberapa jawatan menteri dalam kerajaan negeri dan sebagai timbalan ketua menteri Sarawak dari 1994 hingga 1996.

Pada pilihan raya negeri 1996, Soon Kai tewas dengan 226 undi kepada calon DAP Wong Ho Leng bagi kerusi Bukit Assek, yang sekali gus mengakhiri kerjaya politiknya.

Wong dilantik sebagai penasihat khas sais kepada Kerajaan Sarawak sejak 1997. Beliau berkhidmat sebagai doktor pakar selama lebih 20 tahun.

Beliau berkelulusan MBBS dari Universiti Malaya, Singapura dan anggota Fellow of the Royal College of Surgeons of England and Edinburgh.

Upacara penghormatan akan diadalan di Gereja Trinity Methodist di Jalan Ellis di sini pada 9 pagi esok sebelum upacara kremasi di Nirvana Memorial Park. Bernama