PYONGYANG: Selepas menjalankan ujian mesin pelancar roket, media milik kerajaan Korea Utara, KCNA menyiarkan foto pemimpin tertinggi negara tersebut Kim Jong-un menonton acara pelancaran dari jauh, girang di pusat kawalan serta bersalam dengan petugas.

Dari banyak foto yang diterbitkan bagi menunjukkan “kemesraan” pemimpin yang dianggap diktator dan keras itu, terdapat satu foto unik, pemimpin Korea Utara itu mengendong lelaki berusia di belakangnya.

Timbul persoalan, dalam terdesaknya KCNA menyiarkan foto “berani” itu, siapakah lelaki “bertuah” yang berani “menumpang” belakang seorang diktator seperti itu? Dan mengapa?

Pengkritik rejim Korea Utara, berkata lelaki misteri tersebut bukan tokoh terkenal dalam arena politik negara komunis itu.

Ada yang menjangkakan dia hanya lelaki yang bertugas dalam ujian mesin pelancar roket berkenaan dan mungkin sudah biasa berinteraksi dengan Jong-un sebelum ini.

Memetik Okezone, Michael Madden dari Institut AS-Korea di Universiti John Hopkins, penganalisis politik Korea Utara berkata tanda pada pakaian seragam lelaki berkenaan menunjukkan beliau pegawai menengah di Unit Strategis tentera Korea Utara.

Dia bertanggungjawab ke atas peluru berpandu untuk serangan.

Madden mengaku, foto tersebut disengajakan, tetapi ia bukan kepura-puraan.

Bagi Madden ia lebih kepada galakan, bukan sesuatu yang sengaja dibuat-buat.

Kata Madden lagi, “tidak ada yang berani ‘menunggang’ ayahnya atau bahkan datuknya.”

Hal ini, sesuai dengan keinginan yang ditunjukkan oleh Jong-un bahawa beliau lebih terbuka berbanding ayahnya dahulu.

“Ia menunjukkan kepercayaan diri politik dalam kepemimpinan negaranya. Jika tidak yakin, beliau tidak mengizinkan foto itu disebarkan,” ujar Madden.

Foto tersebut menunjukkan Jong-un lebih sihat berbanding sebelum ini beliau pernah muncul dengan bertongkat pada 2014 dan dikatakan menghidap radang sendi pada 2016.

Dalam telahan yang lebih dalam, Madden berkata seperti pemain bola sepak yang berjaya menyumbat gol ke gawang lawan, dia memerlukan pelukan “tahniah” justeru, Jong-un melakukan hal tersebut bagi meraikan sebuah kejayaan pada program nuklearnya.

Terdapat kritikan lain yang mengatakan, tujuan utama gambar tersebut didedahkan bertujuan memperlihatkan sikap mesra dan ramah Jong-un sebagai pemimpin rakyat yang riang.

Profesor Jae-cheon Lim, dari Universiti Korea di Seoul berkata, ketika Kim berusaha menampilkan ketokohan sebagai seorang yang keras kepala dan tanpa kompromi di dunia antarabangsa, namun kisahnya di dalam negara berbeza.

Beliau tegas dengan kaum elit yang tidak menurut perintahnya, namun dengan rakyatnya, propagandanya ramah dan bersahabat, kata Jae-cheon.

Jae-Cheon bersetuju Jong-un memiliki alasan merayakan “kemenangan” ujian mesin pelancar roketnya yang bakal mendekatkan lagi kejayaan program nuklearnya.

Jae Cheon mengulas, dalam sejarah propaganda, datuk Jong-un ialah pembebas Korea Utara dalam perang gerila melawan Jepun.

Ayahnya, Jong-il pula berjaya mempertahankan rejim daripada kemiskinan.

Justeru, Jong-un yang belum mencapai apa-apa kejayaan yakin mampu berjaya membangunkan program nuklearnya! – Sarawakvoice