Sunday, July 3, 2022

Tikam lidah Pas, PKR masuki fasa sukarkan tahaluf siyasi…

Secara Rawak

PETALING JAYA: Serang hendap Pas terhadap PKR di Pulau Pinang bermula di Permatang Pauh, kemudian di Bayan Baru serta di Tumpat Kelantan memasuki fasa sukar.

Sebelum ini, Pas Pulau Pinang mengusulkan agar Pas Pusat memutuskan hubungan dengan PKR atas dakwaan teman sekongkol itu tidak lagi mesra Pas.

Bahkan, PKR langsung buat tidak faham sindiran Pas selama ini, bahawa “sesiapa berbaik dengan Amanah dan Dap, dia bukan kawan Pas”.

Walaupun Pas berkata, konsep tahaluf siyasi Pas dengan PKR hanya akan diputuskan oleh Majlis Syura Ulama pada Muktamar ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah hujung April depan, pertelagahan Pas-PKR sudah melarat sehingga memasuki Selangor yang selama ini sudah ada bibit pertikaian beberapa isu..

Di Selangor hubungan Pas-PKR dilihat unik dan selalu mengambil jalan tengah ketika negeri lain mengambil sikap sebaliknya.

Pas masih bersama dalam konsep Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum yang lepas memerintah Selangor bersama-sama PKR, Amanah dan Dap.

Perang mulut antara Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz dengan Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah melarat dan meleret.

Ketika Nik Abduh tidak dapat menahan sabarnya mengeluarkan kenyataan bahawa Pas sedia menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang, Azmin tidak senang mendengarnya.

Ketika Azmin pula ada hati mengatakan hubungan Pas-PKR akan pulih dan baik-baik sahaja walaupun suara keras Pulau Pinang sudah bergema ke kawasan tengah Semenanjung, beliau mungkin cuba bergurau yang tidak kena pada tempatnya.

Di laman sosial Twitter Azmin berkicau, “ada pak lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur” yang kemudian menjadi sangat tabu bagi “peminat” Nik Abduh dalam Pas.

Kemelut yang dikatakan Azmin dapat dibincangkan itu, tampaknya bertambah kusut apabila pihak muslimat tidak dapat menahan “rasa” untuk bersuara.

Selepas beberapa Pemuda Pas Kawasan di Selangor menyerang Azmin ekoran insiden Twitter ‘lebai’, sayap wanita pula menganggap Azmin bagaikan kacang lupakan kulit.

Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan dalam kenyataannya berkata, “orang lupa daratan tidak boleh dijadikan kawan.”

Wan Hasrina menyifatkan sindiran Azmin terhadap kekalahan Nik Abduh dalam pemilihan parti di Pengkalan Chepa sebagai mencabar kerjasama politik antara kedua-dua parti.

Lebih mengejutkan, beliau mengakui status kerjasama Pas-PKR sudah mula retak.

Gertak Wan Hasrina, “Dewan Muslimat Pas Negeri Selangor memberi amaran keras terhadap Datuk Seri Azmin Ali dan PKR bahawa muslimat Selangor akan akur sekiranya parti memutuskan hubungan dengan PKR dan tiada sebarang kerjasama lagi menghadapi PRU14 akan datang.

Berang dengan kata-kata Wan Hasrina, Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza Talha mendesak beliau menarik kembali kenyataannya serta-merta yang menggelar Azmin Ali sebagai lupa daratan dan ibarat kacang lupakan kulit.

“Guna saluran yang betul jika ingin luahkan rasa tidak puas hati daripada menjadi budak suruhan Nik Abduh yang dilihat sangat mesra Umno,” tegasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Haniza kesal dengan reaksi Wan Hasrina itu yang dilihat memberi gambaran salah hubungan kerjasama Pas-Pakatan Harapan di Selangor.

“Fakta juga menunjukkan Pas hanya mampu menembusi Selangor selepas bekerjasama dengan Pakatan. Jika tidak kerana gabungan tersebut, Pas mungkin tidak menang apa-apa kerusi di Selangor,” bidas Haniza.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan Azmin dilantik sebagai Menteri Besar Selangor oleh Sultan Selangor atas cadangan dan persetujuan rakan dalam Pakatan bukannya kerana Pas.

Menurut Haniza, 28 daripada 44 Ahli Dewan Negeri daripada Pakatan Harapan menyokong dan tiada satu pun daripada Pas membuat sokongan.

Namun, Haniza berkata beberapa ADUN Pas masih diberi jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri atas sifat berlapang dada Azmin!

Nah, gayung sudah bersambut, kata terus berjawab, benarlah bahawa dalam politik, kawan dan lawan itu bukanlah mutlak, posisinya boleh berubah mengikut kepentingan dan keperluan semasa. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru