KOTA SAMARAHAN: Suasana santai dan istirahat penduduk yang tinggal di Taman Uni Garden di hadapan kampus Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dekat sini kecoh petang tadi, apabila dikejutkan dengan kebakaran rumah pekerja pembinaan di kawasan berdekatan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 2.58 petang tadi dan dua jentera dan sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan 17 anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dan Tabuan Jaya.

“Tiba di lokasi 14 minit kemudian, pasukan terlibat mengambil masa 17 minit untuk mengawal kebakaran rumah setingkat itu, yang melibatkan satu blok 16 pintu.

“Ketika pasukan tiba, rumah itu sudah musnah hampir seratus peratus dan tumpuan diberikan untuk menyelamatkan dua blok lain yang memiliki 16 dan 24 pintu.

Untuk proses ini kata Ling Hii, pihaknya membentangkan satu aliran 200 kaki dan dua nozel, dengan bersumberkan air pili bomba, manakala dua aliran lain menggunakan salur bantu mula dari jentera.

“Tiada mangsa yang terlibat dan pasukan forensik bomba sedang menyiasat punca kejadian,” katanya lagi. – Sarawakvoice