BATU PAHAT: Tindakan pembangkang khususnya DAP melakukan pembohongan tentang kerajaan bukan sahaja memudaratkan kepimpinan dan imej negara di peringkat antarabangsa malah kehidupan rakyat, kata Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata tindakan pembangkang yang mengatakan kerajaan menjual negara kepada China dan Arab Saudi jelas merupakan satu pembohongan besar.

“Martabat kita (Malaysia) tinggi. Jadi, jangan terpengaruh dengan kata-kata pembangkang kerana Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri) dahulu pun memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur.

“Mereka (pembangkang) kata kita (kerajaan) jual negara tetapi mereka lupa China adalah negara kaya yang mampu melabur berbilion ringgit di negara ini,” katanya pada “Ceramah Rakyat Negaraku Generasiku P. 150 Batu Pahat” di Dataran Kompleks Niaga Senggarang, di sini, malam ini.

Hadir sama Naib Presiden MCA Datuk Chua Tee Yong, Pengerusi MIC Johor Datuk M. Asojan, Pengerusi MyPPP Johor Datuk Dr S.Sivakumar dan Ketua Penerangan UMNO Johor Datuk Samsol Bari Jamali.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata pelaburan sejumlah RM144 bilion oleh China dan terbaru, pelaburan RM31 bilion oleh Arab Saudi menerusi Saudi Aramco di Pengerang menjadi bukti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih dihormati masyarakat antarabangsa.

Menurutnya, pelaburan di Pengerang bakal menjana 8,000 pekerjaan yang akan menjamin masa depan golongan muda negara ini.

“Ini sebenarnya pelaburan untuk rakyat Johor yang dikhianati pembangkang khususnya DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Ini tentang masa depan anak-anak kita, tetapi apabila mereka (pembangkang) menidakkan pelaburan ini, maka, kita akan lawan habis-habisan,” katanya dengan menyifatkan politik pembangkang sebagai politik kotor yang bertujuan memecah- belahkan rakyat.

Sehubungan itu, Abdul Rahman sekali lagi menegaskan supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mewujudkan undang-undang supaya mereka yang melakukan fitnah berkaitan ekonomi negara dapat dikenakan tindakan sewajarnya.

“Puak-puak yang mengeluarkan kenyataan yang memudaratkan (negara dan rakyat) merupakan satu ancaman… kena anggap mereka yang membuat tuduhan berkaitan ekonomi, orang itu adalah musuh keselamatan negara,” katanya. Bernama