KUCHING: Bertempat di Padang Merdeka bermula 6.30 petang hingga 10.30 malam ini, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Sarawak Eenergy Berhad (SEB) dan Tabung Dana WWF-Malaysia (Sarawak) meraikan Earth Hour bersama warga dunia.

Di Sarawak, seluruh rakyat diseru memadam semua lampu dan barangan elektrik selama sejam bermula 8.30 malam ini sebagai tanda menyahut suara global menyedarkan penghuni dunia berkaitan fenomena pemanasan global.

Usaha ini dipercayai memberi impak kepada kesedaran orang ramai seterusnya menggalakkan penduduk dunia abad ini sensitif kepada masalah pemanasan global dan punca yang mewujudkan permasalahan tersebut.

Majlis perasmian Earth Hour peringkat Sarawak bermula 8 malam disempurnakan oleh Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi.

Antara aktiviti yang diadakan pada malam ini ialah senam seni bandarayaku, ekspo pameran, DBKU on The Move dan pertandingan mereka cipta logo Earth Hour daripada barangan terpakai.

Di peringkat dunia, sekitar 170 negara seluruh dunia turut meraikan Earth Hour dengan bergelap sejam malam ini, simbol menyahut seruan pelestarian Bumi.

Buat kali ke-11, jutaan manusia dengan bandar, bangunan, hotel, pejabat dan rumah mengambil bahagian menyertai Earth Hour sebagai sokongan kepada usaha global menangani masalah serius abad ke-21.

Antara lokasi global yang menyahut kempen dengan bergelap kali ini ialah Bangunan Empire State, Space Needle, Jambatan Golden Gate, Colosseum di Rom, Piramid Mesir, Sydney Opera House dan Menara Eiffel.

Pemasaran dan Komunikasi World Wildlife Fund Terry Macko, berkata, “Earth Hour peluang bagi menghantar mesej bahawa kita teguh merealisisakan matlamat Perjanjian Paris.”

Beliau merujuk kepada Pakatan Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang dimeterai 2016 bertujuan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan memperkukuh usaha menangani isu perubahan iklim global.

Selain mematikan semua lampu selama sejam, Terry menggesa orang ramai menyokong pergerakan global dengan menukar gambar profil Facebook kepada logo Earth Hour.

Profesor Jabatan Sains Atmosfera dan Alam Sekitar Universiti di Albany, Aiguo Dai berkata, memadam lampu sejam tidak memberi kesan kepada pengeluaran gas rumah hijau, tetapi ia cukup bermakna sebagai tanda sokongan dan simbolik.

”Jika kita semua boleh mencari jalan menjimatkan tenaga dan mengurangkan penggunaan bahan api fosil, maka ia akan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, dan membantu melambatkan pemanasan global,” kata Aiguo.

“Jika itu masih tidak mencukupi, kita perlu membangunkan sumber baru tenaga hijau mesra alam dan bergerak daripada menggunakan bahan api fosil,” ujar beliau lagi. – Sarawakvoice