Sunday, November 27, 2022

Nazri bakal dedahkan skandal Mahathir

Secara Rawak

ALOR SETAR: Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan harapan dan kegembiraannya jika dialog atau debatnya dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dapat disiarkan secara langsung melalui televisyen supaya lebih ramai khalayak dapat mengikutinya.

Namun, bekas Perdana Menteri  itu mengakui kerajaan tidak bersetuju dan seronok jika debat berkenaan disiarkan secara langsung.

Pada zaman Mahathir memerintah selama 22 tahun, beliau tidak pernah menyiarkan debat secara langsung melalui media yang dikuasainya. Malah, gaya kepemimpinannya disifatkan kuku besi.

“Saya seronok sangat jika dibuat secara langsung, tapi nampaknya kerajaan yang tidak berapa seronok,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama Pakatan Harapan Kedah.

Debat itu bakal diadakan pada 7 April di Shah Alam, Selangor.

Namun katanya, kerajaan dilihat kurang gembira dengan penganjuran dialog itu sekiranya ia berjaya diadakan.    

“Kita mahu semua hadir dan saksikan sendiri, yang mahu adakan siaran secara langsung pun dialu-alukan.

Pertemuan yang disifatkan antara buku dengan ruas itu akan membahaskan pelbagai isu termasuk 1MDB dan skandal BMF yang berlaku pada zaman pemerintahan Mahathir.

Kedua-dua pemimpin terbabit dikenali sebagai lantang dan berani, serta memiliki kelebihan masing-masing dari segi pengucapan awam.

Mahathir memiliki kekuatan berhujah dan menggunakan logos, manakala Nazri adalah seorang pemimpin yang berani dan kadangkala dilihat celopar.

Mengakui amat teruja untuk memastikan dialog itu menjadi kenyataan, Mahathir yang menjadi pengkritik tegar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipercayai akan menggunakan kesempatan itu untuk terus mengkritik Najib.

Manakala Nazri dijangka akan menangkis hujah-hujah Mahathir melalui wacana tandingannya, selain mendedahkan skandal dan kelemahan yang berlaku ketika era pemerintahannya.

“Saya seronok sangat hendak buat dialog, tetapi ada pihak kurang seronok, mungkin Nazri sahaja yang seronok,” kata Mahathir dengan sinis. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru