Sunday, August 14, 2022

Kerja tanah di Bukit Maras ditangguhkan, satu pertemuan dengan wakil rakyat berlangsung Selasa depan

Secara Rawak

KUCHING: Dihentikan serta-merta. Itu tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa susulan laporan penarahan bukit bersejarah, Bukit Maras serta rungutan orang ramai terhadap projek itu baru-baru ini.

Tindakan itu diambil bagi membolehkan pihak yang berwewenang mengambil tindakan sewajarnya, termasuk melaksanakan proses penyelamatan bahan-bahan bersejarah yang berbaki.

Menurut sumber, projek tersebut akan disambung semula selepas kerja-kerja penyelamatan ini selesai dilaksanakan.

Difahamkan, satu perjumpaan akan diadakan pada Selasa ini bagi mencari jalan penyelesaian kepada kekusutan yang timbul.

Perjumpaan itu akan turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, yang juga Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) yang juga Adun Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi.

Bukit Maras merupakan sebuah lokasi bersejarah yang ditelusuri hingga ke era-Proto.

Terletak berhadapan dengan tapak Bongkissam, di sini pernah ditemui relik Buddha, Gupta yang menyerupai gajah dan kepala; seterusnya menandakan peradaban yang wujud di Santubong, sejak abad ke-5 Masehi, sebelum kedatangan Islam.

Tragedi Bukit Maras ini bermula apabila ia diratakan oleh pemaju sejak Oktober lalu bagi memberi laluan kepada projek pembesaran Kampung Santubong.

Projek ini dikendalikan oleh Jabatan Tanah dan Survei tanpa menyedari ia pernah diwartakan sebagai Tapak Warisan Sejarah.

Malah di sini juga ditemui tahi besi, serpihan tembikar dan sebagainya, yang membuktikan mungkin wujud aktiviti perdagangan dan bukti bahawa Santubong sebagai sebuah kerajaan maritim.

Dianggarkan kawasan prasejarah yang terjejas akibat pembangunan projek ini adalah seluas 500 meter persegi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru