Sembilan anggota sel Daesh ditahan dalam operasi khas Counter Terrorism

0
9

KUALA LUMPUR: Seorang guru sekolah rendah dan pemilik kedai veterinar merupakan dua daripada sembilan individu yang ditahan kerana disyaki terlibat aktiviti kumpulan pengganas Daesh minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mereka dicekup dalam operasi khas di sekitar Selangor, Perak, Kedah, Kelantan dan Johor oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas yang berlangsung pada 15 hingga 21 Mac lalu.

Katanya, tangkapan pertama dilakukan pada 15 Mac  melibatkan seorang suspek berusia 27 tahun di Klang.

“Suspek merupakan seorang juruteknik yang bekerja di Puspakom dan disyaki terlibat sebagai anggota kumpulan telegram “Gagak Hitam” — sel yang terlibat dalam insiden letupan di kelab Movida, Puchong.

Jelas Khalid, suspek mengaku terlibat dalam penyaluran dana kepada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi bagi kegunaan militan Daesh di Syria.

Tangkapan kedua pada keesokannya melibatkan guru sekolah rendah yang berusia 37 tahun.

“Suspek dicekup di Kulim, Kedah setelah disyaki menyebarkan ideologi Salafi Jihadi kumpulan pengganas Daesh melalui akaun facebook.

“Sebaran tersebut bertujuan untuk merekrut ahli baharu menyertai Daesh.

Turut ditahan pada hari yang sama ialah seorang pengawal keselamatan di Ipoh, Perak.

“Suspek yang berusia 39 tahun ditahan kerana kerana merancang untuk menyeludup keluar dari Malaysia bagi menyertai perjuangan Daesh di Syria atau Selatan Filipina.

Pada 17 Mac kata Khalid, seorang pembantu kedai makan ditahan di Perak kerana merancang untuk melancarkan serangan terhadap balai polis di Tapah, Perak.

“Untuk tujuan tersebut, suspek telah berhubung dengan anggota pengganas Daesh di Indonesia untuk mendapatkan bekalan bahan letupan.

“Suspek juga dikatakan berhubung dengan sel pengganas Daesh di Loso, Indonesia dan aktif merekrut ahli baharu.

Seorang lagi suspek yang juga pemilik kedai veterinar berusia 28 tahun yang turut ditahan di Perak merupakan salah seorang ahli yang berjaya direkrut suspek awal tadi.

Menurut Khalid lagi, tangkapan pada 20 Mac pula melibatkan seorang suspek dari Kuala Krai, Kelantan yang bekerja sebagai mekanik.

“Suspek disyaki terlibat dalam menyalurkan dana kepada perjuangan Daesh dan mempunyai hubungan dengan Daesh Malaysia yang kini berada di Syria.

Tangkapan terakhir pada 21 Mac pula melibatkan suspek yang bertindak merekrut anggota Daesh di negara ini.

“Suspek yang berusia 46 tahun ditahan di Kota Bharu, Kelantan.

“Seorang lagi suspek yang berusia 20 tahun yang bekerja sebagai pekerja kafe siber ditahan di Segamat manakala seorang lagi suspek yang berusia 24 tahun, ditangkap di Kota Tinggi, Johor.

“Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti Daesh di negara ini.

Kata Khalid, kesemua suspek ditahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosesur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas 2012)(Akta 747). – Sarawakvoice