Tuesday, December 6, 2022

Harap TMJ dapat tingkatkan bola sepak kita di persada Asia, dunia

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menyokong usaha Tengku Mahkota Johor, Tuanku Ismail Ibni Sultan Ibrahim  yang mahukan bola sepak Malaysia diurus secara profesional, berintegriti dan bebas daripada pengaruh politik untuk memastikan bola sepak Malaysia dapat ditingkatkan lagi di persada Asia dan dunia.

“Dengan visi yang jelas seperti ini, pelan keseluruhan bolasepak negara dibawah kepimpinan beliau diharapkan akan dapat memberikan impak yang positif,” kata Naib Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin dalam satu kenyataan.

Beliau  mengucapkan tahniah setinggi-tingginya atas kemenangan baginda sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) setelah pencabar jawatan tersebut, Tan Sri Annuar Musa menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut.

“Dengan misi mengembalikan semula sukan paling diminati di negara ini kepada rakyat, DPPM mengharapkan cetusan positif daripada kepimpinan baginda dalam FAM kelak akan dapat membawa bolasepak negara kita ke tahap yang lebih baik,” tambahnya.

Ujarnya, DPPM mengharapkan keseluruhan organisasi bola sepak di negara ini, bermula dari pencarian bakat di peringkat akar umbi, negeri-negeri, sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi mahupun kelab-kelab bola sepak sosial dapat memberikan sokongan kepada TMJ dalam membawa standard baharu dalam pengurusan bola sepak sama ada dari aspek taktikal, kewangan ataupun pembangunan keseluruhan sukan ini.

“DPPM juga mengharapkan agar rakyat memberikan masa dan sokongan yang padu  kepada Tuanku TMJ untuk mengembalikan kegemilangan bolasepak negara. Satu hari nanti kita mahu pasukan bolasepak negara dapat beraksi di Piala Dunia!,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru