Friday, October 7, 2022

Sokong Umno atau Pakatan Harapan: Pas perlu nyatakan pilihan

Secara Rawak

GEORGETOWN: Dalam tindakan yang disifatkan saling mencabar, Pas semalam diminta menzahirkan pendiriannya dengan tegas dan jelas sama ada hendak kekal bersama Pakatan Harapan atau memilih untuk bermesra dengan Umno pada pilihan raya umum ke-14.

Pas beberapa hari lalu mengambil keputusan tidak akan berkerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Parti Islam itu menutup pintu rundingannya dengan Bersatu selepas parti itu menyertai Pakatan Harapan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Pas tidak boleh  berdolak-dalik lagi kerana tindakan sedemikian hanya menyebabkan keyakinan pengundi terhadap Pakatan Harapan terhakis.

“Walau apa juga keputusan mereka, mereka perlu menyatakannya dengan jelas pendirian mereka itu.

“Ini bagi mengelakkan kehilangan pengundi kerana mereka akan keliru dengan pendirian Pakatan Harapan,” tegasnya.

Menurut  Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Pas kini  cenderung bekerjasama dengan Umno selepas mengumumkan putus hubungan dengan PKR di Pulau Pinang.

“Apabila mereka ingin bekerjasama dengan Umno dan BN, mereka perlu memutuskan hubungan dengan PKR. Mereka juga dilihat sedang membuat persediaan asas apabila  mengumumkan keputusan itu baru-baru ini,” katanya kepada media semalam.

Bagaimanapun,  ujar beliau,  yang boleh jangka, Pas akhirnya akan bekerjasama dengan Umno dan BN selepas mula memutuskan hubungan dengan DAP.

Pendirian Pas bagi penganalisis politik sama ada menyokong BN atau Pakatan Harapan akan menentukan nasib parti terbabit dalam PRU nanti.

Jika Pas menyokong Umno, penganalisis percaya ini akan mencetuskan pertembungan tiga penjuru, sehingga menguntungkan BN, sekali gus menipiskan harapan Pakatan harapan untuk menguasai Putrajaya.

Guan Eng  tidak menolak kemungkinan satu pakatan baharu iaitu ‘BN+1 Pakatan’ dalam PRU akan datang. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru