LONDON:  Dalam satu serangan nekad yang sekali lagi menggemparkan kota ternama dunia, lima orang disahkan maut, termasuk suspek  dan seorang anggota polis, manakala 40 lagi cedera di London, Rabu di Jambatan Westminster.

Ini susulan tindakan sebuah kereta merempuh pejalan kaki dan penyerang menikam seorang anggota polis yang sedang berada dekat dengan bangunan Parlimen Britain.

Kereta itu kemudiannya mengikut saksi melanggar susur penghadang di luar bangunan Parlimen.

Perdana Menteri Theresa May mengutuk serangan itu dan menyifatkannya sebagai ‘memualkan dan keji’.

Foto Rafida

Kawasan itu terkenal dalam kalangan pelancong dan orang ramai di kota ini, dan pengganas terbabit merancang untuk memberi kesan terburuk dengan rempuhan itu.

“Sebarang percubaan untuk mengalahkan nilai-nilai itu menggunakan keganasan adalah ‘ditakdirkan untuk gagal,” ujar May dalam satu kenyataan di luar pejabat 10 Downing Street pada sebelah malam.

“Pengganas itu memilih untuk menyerang di tengah-tengah ibu negara kita, di mana orang dari semua bangsa, agama dan budaya datang bersama-sama untuk meraikan nilai-nilai kebebasan, demokrasi dan kebebasan bersuara,” katanya seperti dipetik agensi berita Reuters.

Sumber BBC

Mark Rowley, pegawai paling kanan dalam memerangi keganasan di Britain, memberitahu pemberita bahawa serangan itu bermula apabila sebuah kereta dipandu di atas Westminster Bridge, melanggar dan mencederakan orang awam dan tiga anggota polis.

“Sebuah kereta kemudian merempuh berhampiran dengan Parlimen dan sekurang-kurangnya seorang lelaki bersenjatakan pisau, terus menyerang dan cuba untuk memasuki parlimen,” kata Rowley.

Ketika serangan itu berlaku saksi mendakwa mendengar letupan kuat dan tidak lama selepas itu ternampak seorang lelaki bersenjatakan pisau dan seorang anggota polis yang ditikam terbaring di halaman dalam kawasan pintu-pintu parlimen. – Sarawakvoice