Friday, August 19, 2022

Lelaki cedera di leher, dua rumah panjang berjiran dijilat api di Bakong, Lingga pagi tadi

Secara Rawak

SRI AMAN: Seorang lelaki cedera di leher ketika berusaha menyelamatkan diri dalam tragedi kebakaran melibatkan dua buah rumah panjang berjiran di Jalan Jongko Bakong, Lingga dekat sini.

Dalam kejadian awal pagi tadi itu, api marak dengan begitu cepat kerana binaan rumah daripada kayu dan stuktur tidak kekal.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii memberitahu, pihaknya mendapat panggilan sekitar jam 3.50 pagi dan sebuah jentera dan ambulans EMRS dengan kekuatan 16 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi 33 minit kemudian, pasukan mendapati Rumah Panjang Langgau Bakong yang memiliki 20 pintu telah seratus peratus musnah.

“Api merebak dengan cepat di rumah panjang setingkat ini kerana binaannya daripada kayu.

Kata Ling Hii, daripada kediaman bersaiz 80×20 kaki itu, api merebak ke sebuah lagi rumah panjang yang terletak bersebelahan.

“Rumah Panjang Johnet bersaiz sama, dengan lapan buah pintu dan struktur separuh kekal satu tingkat ini juga musnah sama sekali.

“Pasukan telah membentangkan dua aliran 200 kaki dan menggunakan empat nozel, dengan memperoleh sumber air terbuka daripada parit berdekatan.

Api katanya berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh 12 minit.

Punca kebakaran tambahnya, masih dalam siasatan pasukan Forensik Bomba.
Turut membantu pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis.

Jurucakap APM, Siti Huzaimah Ibrahim berkata, sebuah pusat penempatan sementara akan dibuka bagi menempatkan 28 keluarga yang terlibat. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru