KUALA LUMPUR: Melantik pemimpin yang tepat adalah penting bagi memastikan proses transformasi yang berterusan dalam syarikat dan institusi, kata Pengerusi Permodalan Nasional Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Wahid berkata, langkah itu, yang seiring dengan aspirasi kerajaan, perlu melantik pemimpin berintegriti dan menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang tepat kepada kakitangan.

“Adalah penting untuk menetapkan KPI yang betul dan memberi tumpuan kepada KPI berkaitan dan memastikan ia tidak dipacu oleh hanya seorang individu, tetapi oleh satu pasukan,” katanya pada sesi panel di Forum Transformasi Global 2017(GTF 2017) di sini, hari ini.

Wahid adalah antara tiga ahli panel semasa sesi berkenaan, bertajuk ‘Transformasi Nasional: Masalah, Perspektif dan Laluan’.

 Ahli panel lain sesi yang dikendalikan Pengarah Urusan Institut Penyelidikan Khazanah, Datuk Charon Mokhzani itu ialah Micheal Barber, Rakan Kongsi Urusan Delivery Associates dan Omari Issa, Pengerusi Amref Health Africa International.

Sementara itu, Omari berkata, walaupun pengukuran KPI adalah penting bagi menilai sejauh mana syarikat atau kakitangan tertentu mencatat kemajuan, ia sendiri tidak cukup untuk memastikan pembangunan pesat sesebuah organisasi itu.

“Kita juga perlu menetapkan penanda aras berbanding amalan terbaik. Apabila anda mula membandingkan diri anda di peringkat serantau atau antarabangsa, anda akan dapati anda sebenarnya tidak melakukannya sebaik itu,” katanya.

Menurutnya, hanya dengan bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa, syarikat akan mampu

menonjolkan potensi sebenar mereka dan mencapai keputusan yang lebih tinggi dan dengan itu menawarkan pelan transformasi yang lebih baik.

“Setiap kali kita memulakan transformasi, kita mesti mempunyai elemen kemampanan, yang bermaksud sebarang inisiatif yang diumumkan, akan diteruskan walaupun selepas individu yang memulakannya tidak lagi berada di sana,” katanya.

GTF 2017 selama dua hari, mulai hari ini telah menarik lebih 3,000 eksekutif, pemilik perniagaan, pemimpin politik dan selebriti terkenal untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik mereka dalam memacu transformasi.

Antara tokoh ternama terbabit ialah Pengerusi Eksekutif Alibaba Group dan Dermawan, Jack Ma; pemenang pingat emas acara pecut 100 meter Sukan Olimpik, Usain Bolt; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin. Bernama