Saturday, October 8, 2022

[Kolumnis] Sana Datuk, sini Datuk, di mana-mana ada Datuk

Secara Rawak

Sana Datuk, sini Datuk. Di mana-mana ada Datuk.

Kalau dilontarkan  seketul batu ke arah orang ramai di sebuah pasar, pasti akan terkena kepala Datuk, dan batu itu kemudiannya akan melantun, terkena kepala seorang lagi Datuk.

Tidak keterlaluan dikatakan, Malaysia merupakan negara yang paling banyak Datuk.

Berdasarkan nisbah, dan penduduk berjumlah 31 juta, sudah pasti kita sudah berlebihan Datuk. Yang dimaksudkan bukan datuk hasil daripada mendapat cucu atau cicit. Ini gelaran daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri. Itu belum lagi diambil kira Datuk-Datuk yang diperoleh daripada luar negara, dari Indonesia dan Selatan Filipina.

Orang Malaysia memang suka gelaran, pangkat dan pingat. Buktinya, kita akan tercungap-cungap membaca rujukan kehormat dan gelaran ketika menyampaikan ucapan di sesuatu majlis. Ada orang yang akan marah jika gelaran Datuk tidak disebut.

Kebelakangan ini, sudah menjadi bahan jenaka pula apabila kita kebanjiran Datuk. Gelaran itu bagai terlalu mudah diperoleh. Ada negeri yang kriterianya terlalu longgar dan mudah. Kadangkala kita hairan bagaimana individu tertentu mendapat gelaran itu.

Mereka bukan sahaja masih terlalu muda, berusia awal 30-an, malah 20-an, tetapi sudah ada gelaran Datuk di pangkal nama. Apakah jasa mereka ini? Adakah jasa dan sumbangan mereka terlalu besar?

Tidak bolehkah diadakan syarat bahawa hanya individu yang sudah mencapai usia tertentu diberi gelaran itu. Tentu bukan mereka yang berusia  dalam lingkungan 20-an. Ada anugerah lain yang dapat diberi kepada mereka ini, dan tidak semestinya Datuk. Jangan sampai suatu hari nanti, gelaran itu sudah tidak membawa makna. Kini pun sudah ada yang bersikap sinis dan skeptis.

Kelihatannya, ahli perniagaan dan ahli politik secara relatif lebih mudah mendapat gelaran itu.

Dengan gelaran itu kononnya lebih berprestij dan masyarakat akan lebih pandang tinggi kedudukan mereka.

Seyogia diingat, bukan gelaran yang menyebabkan orang hormat, tetapi pencapaian, perwatakan dan personaliti. Sumbangan dan jasa tidak semestinya dihargai dengan gelaran Datuk.

Bagi sesetengah daripada mereka ini,  gelaran Datuk memudahkan mereka mendapat sesuatu projek. Betulkah?

Saya sendiri sangsi, dengan cara sesetengah orang mendapat Datuk dan gelaran-gelaran lain. Betulkah orang ini ada gelaran Datuk? Apakah yang menyebabkan dia layak menerima gelaran itu? Mengapa ada ahli keluarga, adik-beradik dan anak-beranak sesetengah pemimpin politik semuanya mendapat gelaran Datuk? Inilah kehebatannya. Besar sangatkah jasa dan sumbangan mereka kepada negeri dan negara?

Dengan undang-undang baharu bakal mengenakan hukuman berat kepada yang menjual dan memakai gelaran itu, golongan terbabit sekarang tentu kepanasan.

Bagaimanakah agaknya perasaan isteri yang selama ini dipanggil Datin oleh rakan-rakan mereka, tiba-tiba selepas ini tidak lagi dipanggil sedemikian.

Sebenarnya, mereka ini menipu diri sendiri.

Mereka syok sendiri dan bangga apabila dipanggil Datuk atau Datin, sedangkan ada yang menyebut gelaran itu, tanpa mereka sedar, dengan sinis.

Pihak yang menganugerahi gelaran itu perlu menggunakan kriteria yang ketat. Latar belakang dan rekod lepas calon Datuk perlu disaring dan diteliti dengan betul, lebih-lebih lagi kini ada Datuk yang terlibat dalam kes jenayah dan samseng.

Kita tidak mahu seekor kerbau yang membawa lumpur, semua yang lain terpalit.

Biarlah Datuk itu membawa imej dan reputasi yang baik.

Kita mahu Datuk bukan sebarang Datuk, tetapi Datuk yang lihai. Datuk yang dapat dibanggakan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru