KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang  menggelarkan Tan Sri Annuar Musa ‘bapa segala rasis’, sekali gus mencetuskan perang mulut yang semakin seru antara kedua-dua pemimpin itu.

Kit Siang yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam politik dan terkenal sebagai pemimpin pembangkang yang berani dan lantang turut menyatakan kesediaannya disaman oleh Ketua Penerangan Umno itu.

Beberapa hari lalu, Annuar menggelarkan Kit Siang pemimpin yang anti-Islam dan diktator, serta menyifatkan DAP sebagai parti rasis.

Beliau mengulangi cabaran itu dalam satu ceramahnya pada Majlis Penerangan dan Pemantapan Ilmu Pejuang Melayu anjuran Umno Gombak tiga hari lalu.

Susu politik antara mereka berdua semakin menggelegak, dan kedua-duanya bagai tidak mahu menyerah kalah, dan saling mencabar dan memberi label buruk.

Annuar sebelum ini  turut mencabar Kit Siang untuk mengemukakan saman terhadapnya.

“Di luar Parlimen saya gelar dia bapa segala rasis, memalukan Islam dan dia boleh saman saya. Itu cabaran saya,” kata Kit Siang kepada media, semalam.

Kit Siang menegaskan kalau Annuar rasa kenyataannya itu satu fitnah, beliau boleh ambil tindakan udang-undang terhadapnya.

“Mengenai apa yang dia kata kepada saya, biar peguam saya yang uruskan. Saya terima dia mahu saman saya jadi dia boleh buat demikian,” katanya.

Annuar kini sedang berusaha untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). – Sarawakvoice